Pelajar hafal 30 juzuk al-Quran peroleh keputusan cemerlang STAM - Utusan Malaysia

Pelajar hafal 30 juzuk al-Quran peroleh keputusan cemerlang STAM

NIK Abdullah Hanif Nik Mohd. Akbari (tengah) bersama enam lagi pelajar cemerlang STAM Terengganu 2023 pada sesi pengumuman di SMAASZA, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar yang juga penghafal 30 juzuk al-Quran berjaya melakar sejarah apabila memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2023 yang diumumkan hari ini.

Nik Abdullah Hanif Nik Mohd. Akbari, 19, yang memperoleh sembilan Mumtaz dan satu Jayyid Jiddan itu muncul sebagai pelajar terbaik STAM 2023 di negeri Terengganu.

Menurutnya, amalan yang istiqamah dalam mengulangkaji pelajaran serta
menjaga hubungan baik dengan keluarga, guru serta rakan-rakan adalah rahsia kecemerlangannya dalam peperiksaan tersebut.

“Setiap kali rasa hampir putus asa, saya akan hubungi ibu, Mariam Jameelah Ishak, 40, untuk minta doanya dan kata-kata semangat untuk saya.

“Saya juga sering berjumpa guru untuk bertanyakan soalan dan berbincang dengan kawan-kawan untuk apa sahaja permasalahan yang ada sepanjang belajar.

“Selain itu, membaca all-Quran juga umpama terapi buat saya setiap kali berdepan kesukaran dalam pelajaran,” katanya.

Beliau adalah antara tujuh pelajar cemerlang STAM Terengganu 2023 yang diumumkan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Jelani Sulong di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), di sini, hari ini.

Pada tahun ini, Nilai Gred Purata Negeri Terengganu ialah 2.79 mengatasi Nilai Gred Purata Kebangsaan 3.09 dengan perbezaan nilai sebanyak 0.30 dan peningkatan nilai 9.7 peratus.

Seorang lagi pelajar cemerlang, Nor Aidil Syawani Mohd. Rowazi, 19, pula berkata, tiada jalan singkat untuk cemerlang dalam STAM sebaliknya perjalanan menuntut ilmu itu penuh dengan pengorbanan pelbagai pihak terutama ibu bapa dan guru-guru di SMAASZA.

Dia yang memperolehi lapan Mumtaz, satu Jayyid Jiddan dan satu Jayyid menyifatkan kecemerlangan itu adalah untuk membalas jasa kedua ibu bapanya selama ini.

“Alhamdulillah, keikhlasan guru mencurahkan ilmu selama ini berbaloi dengan kejayaan pelajar-pelajar di SMAASZA dan bagi saya pula, kejayaan ini akan mencetus motivasi untuk terus berjaya dalam menyambung pelajaran dalam bidang syariah ke Madinah nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN