MARANG: Pasangan raja sehari di Kampung Rawai dekat ini membuat kelainan pada hari bersejarah mereka apabila diarak menaiki trak tunda ke rumah pengantin lelaki, semalam.
Mohd. Badrul Haikal Mohd. Bakri, 22, dan isterinya, Nurul Nazifah Ismail, 25, turut dibawa mengelilingi kawasan kampung bagi mengabadikan kenangan pada hari persandingan mereka.
Menurut Mohd. Badrul Haikal, idea berkenaan tercetus secara spontan bersama rakan-rakan sekerjanya sebelum turut dipersetujui Nurul Nazifah serta ahli keluarga yang lain.
Pemuda itu berkata, dia bekerja sebagai pemandu trak tunda sejak tiga tahun lalu bersama bapanya dan mahu membuat kelainan berbanding kebiasaan pada hari bahagianya.
“Idea ini datang tiba-tiba sekadar usik-mengusik antara rakan sekerja dan tidak sangka juga ianya menjadi kenyataan bagi menambahkan lagi kemeriahan hari persandingan kami.
“Saya terharu apabila rakan-rakan dari Dungun, Kemaman dan Kota Bharu turut datang bersama trak mereka untuk memastikan perancangan itu menjadi hari ini (semalam).
“Isteri serta ahli keluarga juga tidak membantah malah kami tidak malu kerana ini sumber saya mencari rezeki sehingga dapat mendirikan rumah tangga bersama wanita tersayang,” katanya.
Bagi Nurul Nazifah, pengalaman diarak menaiki trak tunda cukup bermakna bagi dirinya dan dianggap sebagai kenangan paling indah untuk dikongsi sehingga akhir hayatnya.
Dia yang berasal dari Kampung Jerung dekat sini berkata, dia juga tidak menyangka idea berkenaan benar-benar menjadi sehingga turut dibawa berarak ke kawasan kampung sejauh lebih dua kilometer.
“Memang berbeza daripada pengantin lain, tapi saya anggap ini keunikan yang akan dikenang dan diceritakan kepada anak-anak pada masa akan datang,” jelasnya yang bekerja sebagai pembantu kantin. – UTUSAN










