Pas kutuk serangan terhadap KK Mart - Utusan Malaysia

Pas kutuk serangan terhadap KK Mart

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas mengutuk tindakan membaling bom petrol terhadap cawangan kedai serbaneka KK Mart di Bidor, Perak semalam dengan menyifatkan perbuatan tersebut tidak boleh diterima dan wajar dikecam.

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tidak ada sebarang ruang untuk dibiarkan perbuatan sedemikian menjadi norma dalam kehidupan masyarakat atas apa jua alasan sekali pun.

“Undang-undang dan keadilan tidak boleh terlaksana melalui tangan sendiri secara individu kerana kita mempunyai kerajaan dan pihak penguat kuasa undang-undang yang diberikan hak  dalam perlembagaan. 

“Saya rakamkan takziah dan simpati kepada pihak yang menjadi mangsa dalam insiden balingan bom petrol ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, masih terlalu awal untuk mengaitkan mana-mana pihak dengan insiden tersebut bahkan tindakan menuding jari juga adalah perbuatan tidak bertanggungjawab.

“Kita sudah melihat bagaimana dalam insiden khianat melibatkan rumah Ahli Parlimen Beruas pada tahun lalu di mana pada awalnya terdapat usaha untuk mengaitkannya dengan isu politik sebagai punca, namun akhirnya siasatan pihak polis menunjukkan sebaliknya. 

“Walaupun masih tiada sebarang pendakwaan dalam kes ini, ternyata ada pihak yang sudah dicalarkan imejnya hasil daripada perbuatan mengeluarkan kenyataan awal mendahului pihak berkuasa.

“Dalam isu bom petrol di Bidor, Perak ini masih terlalu awal untuk mengaitkannya dengan mana-mana insiden terdahulu. Jangan ada pihak yang menjadi mangsa persepsi sebelum siasatan menyeluruh dilakukan oleh pihak polis,” katanya.

Semalam, Polis Perak mengesahkan kedai serbaneka KK Mart di Jalan Bruseh, Bidor dibaling bom petrol, namun serangan tidak mengakibatkan kebakaran di premis tersebut.

Terdahulu, pada 13 Mac lalu, tular di media sosial stoking tertera kalimah ‘Allah’ yang dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN