Parlimen: SKMM sedang merangka perlesenan media sosial

Parlimen: SKMM sedang merangka perlesenan media sosial

TEO NIE CHING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam proses melengkapkan kerangka perlesenan untuk semua penyedia perkhidmatan platform media sosial bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, cadangan penguatkuasaan perlesenan tersebut sedang diperhalusi oleh pihak kerajaan.

“Cadangan penguatkuasaan perlesenan ini disasarkan kepada penyedia perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan permesejan internet yang boleh diakses oleh pengguna dalam Malaysia mengikut kriteria penilaian yang akan ditetapkan.

“Cadangan tersebut juga dianggap sepadan memandangkan ketersediaan kandungan mudarat yang tinggi di dalam platform media sosial dan permesejan internet.

“Langkah cadangan kawal selia ini adalah untuk meningkatkan tahap keselamatan dalam talian serta menangani kandungan yang bertentangan dengan perundangan negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) yang bertanya adakah Kementerian Komunikasi telah memutuskan untuk mewajibkan semua penyedia perkhidmatan platform media sosial yang beroperasi di negara ini berdaftar dengan MCMC?.

Mengulas lanjut, Nie Ching berkata, cadangan tersebut tidak bertujuan menyekat kebebasan media.

Jelasnya, ia merupakan langkah pendekatan yang seiring dengan perkembangan global semasa.

“Impak pelaksanaan perlesenan ini akan meningkatkan tahap perlindungan pengguna terutama pengguna perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan permesejan dalam internet daripada terdedah (kepada) penipuan dalam talian serta kandungan mudarat dalam talian.

“Selain itu, pengguna dapat menikmati perkhidmatan dalam talian dalam ruang lingkup yang selamat dan boleh dipercayai daripada pihak penyedia perkhidmatan dalam talian,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN