PARLIMEN: Elaun pengemis OKU miliki X70 dihentikan

PARLIMEN: Elaun pengemis OKU miliki X70 dihentikan

KERATAN laporan Utusan Malaysia 23 Februari 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bantuan elaun orang kurang upaya (OKU) kepada seorang individu yang memiliki Proton X70 Premium yang tular sebelum ini dihentikan. 

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, elaun berjumlah RM450 itu dihentikan mulai bulan ini. 

Katanya, individu itu juga diberikan amaran serta diminta melengkapkan surat aku janji sebagai jaminan tidak mengemis lagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Siasatan lanjut juga mendapati dia kini bekerja di sebuah syarikat bas sebagai penyelia syif dengan anggaran pendapatan RM2,000 sebulan. Sebab itulah individu ini tidak boleh lagi menerima bantuan kebajikan daripada Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini. 

Noraini menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) berhubung tindakan terhadap seorang OKU yang mampu memiliki Proton X70 dengan aktiviti mengemis. 

Noraini berkata, kementerian sedang menyemak semula Akta Orang-Orang Papa 1977 bagi menambah baik pengendalian isu orang papa dan gelandangan. 

Katanya, ini kerana akta berkenaan tidak mempunyai peruntukan hukuman berbentuk punitif berikutan asasnya berprinsipkan kebajikan. 

“Kajian ke atas Akta Orang-Orang Papa 1977 dilaksanakan selama 21 bulan dan dijangka siap pertengahan tahun ini manakala dapatan akhir akan dibentang kepada kementerian. 

“Skop kajian ialah mengenal pasti peruntukan sedia ada, membuat kajian perbandingan antara akta berkenaan gelandangan, pengemisan dan kemiskinan bandar di negara lain, mengadakan sesi libat urus serta konsultasi termasuk juga membantu kementerian dalam penyediaan regulatori impak analisis,” katanya. 

Justeru, katanya, kajian itu akan menghasilkan syor sama ada wujud keperluan penggubalan akta baharu dan mengenal pasti peranan kementerian.

“Matlamatnya adalah menyediakan cadangan kepada kerajaan mengenai kandungan, pendekatan dan skop undang-undang serta pelan tindakan ke arah inisiatif pengendalian isu gelandangan, pengemisan dan kemiskinan bandar,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini