KUALA LUMPUR: Kerajaan kini menunggu masa sesuai untuk meminda Perlembagaan Persekutuan, sekali gus mewujudkan Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA) dan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) seperti yang dicadangkan beberapa pihak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan sudah memuktamadkan 90 peratus dasar-dasar melibatkan undang-undang berkenaan, setelah mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh.
Menurut beliau, rang undang-undang (RUU) bagi mewujudkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen juga sudah lengkap dan akan meminda Perlembagaan Persekutuan tidak lama lagi.
“Kerajaan komited dan bersetuju secara prinsip bagi meminda Perlembagaan dan menggubal Akta Perkhidmatan Parlimen yang memberi kuasa autonomi dalam aspek pentadbiran dan kewangan Parlimen bagi mengendalikan urusan pentadbirannya di bawah skim perkhidmataan baharu.
“Maksudnya, kerajaan tiada halangan. Ini selaras dengan matlamat kerajaan ke arah memartabat doktrin pengasingan kuasa dan terus memperkasa semangat perlembagaan bagi merealisasi usaha ini.
“Usaha meminda Perlembagaan dan penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen yang akan dibentang tidak lama lagi merupakan keutamaan kerajaan. RUU pun sudah siap, hanya tunggu masa sahaja,” katanya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Chow Yu Hui [PH-Raub] mengenai pelan hala tuju dan garis masa kerajaan mewujudkan Akta Perkhidmatan Parlimen bagi menjamin kebebasan dan autonomi Parlimen.
Azalina turut menjawab soalan Tan Sri Abdul Hadi Awang [PN-Marang] mengenai tindakan kerajaan dalam memastikan Parlimen bebas daripada kuasa eksekutif menerusi reformasi Parlimen.
Mengulas lanjut, kata Azalina, Jabatan Perdana Menteri mengambil inisiatif mengadakan mesyuarat penyelarasan pada Februari lalu bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Kewangan dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi meneliti aspek saraan dan pencen bagi pegawai di bawah Skim Perkhidmatan Parlimen.
“Memorandum Jemaah Menteri yang lebih komprehensif sedang disediakan bagi memastikan kerajaan dapat membentang cadangan pindaan kepada Perlembagaan dan Akta Perkhidmatan Parlimen yang baharu dalam masa terdekat,” katanya.
Pada 22 Februari lalu, Utusan Malaysia melaporkan, bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim menggesa kerajaan meneruskan pengenalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen dan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) yang kini masih tergantung walaupun sudah dibentang kepada Kabinet.
Katanya, beliau sudah menyiapkan RUU itu bersama Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar semasa beliau memegang jawatan Yang Dipertua Dewan Negara.
Katanya, RUU itu kemudian diserah kepada Azalina untuk dibawa kepada Kabinet tetapi tiada tindakan lanjut selepas itu.
Wan Junaidi yang juga bekas Ahli Parlimen Santubong itu memulakan langkah memperkenal semula Akta Perkhidmatan Parlimen sejak dilantik menjadi menteri undang-undang pada 2021, di bawah pentadbiran Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Akta Perkhidmatan Parlimen dimansuh pada 1992 dan merupakan salah satu janji reformasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang belum ditepati selepas 22 bulan berkuasa. –UTUSAN