GEORGE TOWN : Kerajaan negeri akan memantau situasi hujan di kawasan tadahan air (KTA) di Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang sebelum mengemukakan permohonan untuk melaksanakan pembenihan awan buat kali kedua.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, hal ini demikian kerana, KTA di kedua-dua buah empangan itu ketika ini mula mengalami hujan sejak semalam.
“Semalam, jumlah hujan direkodkan berlaku di Empangan Air Itam adalah sebanyak 11.5 mm (milimeter), namun, jumlah hujan yang direkodkan di Empangan Teluk Bahang pula jauh lebih rendah iaitu hanya sebanyak 3 mm hujan sahaja.
“Keadaan ini berbeza sekali jika dibandingkan dengan KTA di Empangan Mengkuang yang merekodkan sebanyak 47 mm dalam tempoh dua hari ini dan ia (jumlah hujan yang) agak baik.
“Jadi, kita akan pantau rapi situasi hujan, sebab kalau sudah mula hujan, mereka (Agensi Pengurusan Bencana Negara atau NADMA) akan timbang keperluan untuk kita akan mohon lagi sekali (pembenihan awan),” katanya selepas menyampaikan watikah pelantikan jawatankuasa pembangunan wanita, keluarga dan jawatankuasa belia Pulau Pinang di sini, hari ini.
Sebelum ini, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan bahawa operasi pembenihan awan telah dijalankan selama dua hari iaitu pada Selasa dan Rabu lalu bagi mencetuskan hujan sebanyak mungkin di KTA Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir. K. Pathmananthan berkata, operasi itu diselaraskan oleh NADMA di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan dikendalikan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Bagaimanapun, PBAPP memaklumkan operasi selama dua hari itu tidak merekodkan sebarang hujan semasa atau selepas operasi berkenaan dijalankan.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan cuba memastikan kapasiti efektif Empangan Air Itam mencapai 50 peratus menjelang Mei ini.
“Lazimnya iaitu pada bulan April adalah bulan yang akan turun hujan di Pulau Pinang. Tetapi, dengan perubahan iklim semasa, kita perlu pantau keadaan,” kata beliau.
Tambahnya, dengan usaha-usaha yang dijalankan menerusi Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024) paras terkini Empangan Air Itam pada hari ini adalah pada kadar 37 peratus.-UTUSAN










