KUALA LUMPUR: Pameran Pendidikan Tinggi dan Kerjaya China 2024 menjadi platform menghimpunkan tokoh-tokoh terkemuka akademik Malaysia-China untuk membincangkan isu-isu utama selain membuka lebih banyak peluang kerjasama pendidikan.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, menerusi pameran yang disertai lebih 100 universiti itu sudah tentu banyak pengalaman dan amalan baharu yang boleh dikongsi antara kedua-dua negara
Menurut beliau, Malaysia telah mengiktiraf China sebagai salah satu rakan kongsi penting apabila melibatkan bidang pendidikan tinggi.
“Kami memuji usaha China dalam meningkatkan kerjasama pendidikan tinggi melalui penglibatan platform pelbagai hala seperti Asean.
“Ini menunjukkan bahawa pendidikan bukanlah kebimbangan nasional semata-mata tetapi juga tanggungjawab global bersama,” kata beliau ketika berucap pada program Asean (Malaysia)-China Higher Education Forum sempena Sambutan 50 Tahun Hubungan Diplomatik Malaysia-China di sini hari ini.
Forum sehari itu pertama kali dianjurkan secara kerjasama antara Bahagian Hubungan Antarabangsa, KPT, Education Malaysia Beijing dan Asean China Center.
Program tersebut dihadiri 400 orang peserta daripada 50 Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di Malaysia, 53 IPT dari negara China, wakil-wakil KPT, jabatan, agensi dan kedutaan.
Mengulas lanjut, Mustapha berkata, pihaknya mengharapkan agar kerjasama antara kedua-dua negara itu akan terus diperkukuh melalui pelbagai aspek. – UTUSAN










