Padah tolong adik kawan hendak kahwin, amah dipenjara lima bulan - Utusan Malaysia

Padah tolong adik kawan hendak kahwin, amah dipenjara lima bulan

Curi
SITI Normala Ismail meninggalkan Mahkamah Majistret selepas menghadiri prosiding pertuduhannya dekat Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: “Saya mengaku salah kerana curi barang tersebut tetapi saya tidak simpan, sebaliknya diberikan kepada kawan yang memberitahu adiknya hendak kahwin.”

Demikian pengakuan seorang wanita berusia, 44 tahun yang dituduh mencuri barang kemas dekat sebuah rumah di Putra Heights, Subang di sini pada bulan lalu.

Dalam prosiding tersebut, tertuduh, Siti Normala Ismail, mengaku salah atas kesalahan tersebut selepas kertas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Majistret Farah Rosnan.

Berdasarkan pertuduhan, wanita tersebut yang bertugas sebagai pembantu rumah didakwa mencuri seutas gelang dan rantai emas kepunyaan majikannya yang bernilai kira-kira RM20,000.

Kesalahan itu dilakukan di rumah berkenaan kira-kira pukul 6 petang pada 23 Februari lalu.

Justeru, dia dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun serta denda dan bagi kesalahan kedua, tertuduh boleh dikenakan hukuman sama dan sebatan.

Bagaimanapun, Siti Normala memberitahu mahkamah dia tidak mampu untuk membayar denda sekiranya hukuman tersebut dikenakan sebelum Majistret bertanyakan soalan tersebut bagi pengesahan.

“Kamu memang tidak mampu membayar denda,” tanya Majistret.

“Saya tak bayar puan,” jawab Siti Normala.

Siti Normala: Saya mengaku salah mengambil barang tersebut tetapi saya tidak simpan, sebaliknya diberikan kepada kawan yang memberitahu adiknya hendak kahwin.

Majistret: Lain kali jangan ikut cakap orang, kalau kawan suruh terjun bangunan, kamu terjun?

Siti Normala: Tak puan.

Majistret: Mencuri itu memang satu kesalahan

Siti Normala: Faham puan.

Berdasarkan pengakuannya, mahkamah kemudian memutuskan tertuduh bersalah atas pertuduhan dihadapinya dan dikenakan hukuman penjara sehingga lima bulan bermula daripada tarikh sabitan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saidah Fasihah Che Yusoff. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN