Musim panas: JPN diberi kuasa buat keputusan lindungi pelajar, guru - Utusan Malaysia

Musim panas: JPN diberi kuasa buat keputusan lindungi pelajar, guru

SHAFRUDDIN Ali Hussin (berdiri, lima kiri) bergambar bersama pelajar pada hari pertama sesi baharu persekolahan di SMK Serada, Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) diberi kuasa dalam membuat keputusan yang sesuai bagi melindungi pelajar dan guru daripada sebarang risiko akibat cuaca panas melampau.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Shafruddin Ali Hussin berkata, Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan pekeliling kepada JPN di seluruh negara dalam berdepan fenomena cuaca panas.

Menurutnya, JPN di setiap negeri diarah memantau perkembangan suhu panas semasa dan perlu selari dengan nasihat yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Pekeliling itu sudah ada dan diedarkan sejak dulu lagi, bukan sahaja dari segi haba atau cuaca panas, juga terhadap jerebu atau bencana-bencana yang lain.

“Oleh itu, semua JPN boleh membuat apa-apa keputusan berdasarkan garis panduan yang terdapat dalam pekeliling sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serada sempena hari pertama sesi baharu persekolahan 2024/2025 di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Shafruddin berkata, kementerian juga membenarkan murid-murid untuk memakai pakaian yang sesuai sepanjang musim panas melanda negara ketika ini.

“Kita benarkan murid-murid kita memakai pakaian selain uniform, kalau mereka memakai baju-T pun, mereka dibenarkan, pakai apa sahaja selagi mereka datang ke sekolah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, semua 53 buah sekolah di Terengganu yang terjejas banjir akibat musim tengkujuh lalu beroperasi seperti biasa semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN