SEMENYIH: Kementerian Pengangkutan menggalakkan syarikat perkhidmatan pelupusan kenderaan motor memohon lesen bagi Fasiliti Rawatan Automotif Berlesen (AATF) dari Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, fasiliti tersebut diperlukan di setiap negeri supaya lebih ramai masyarakat terpanggil untuk melupuskan kereta secara lebih teratur.
Katanya, secara keseluruhan, JAS telah mengeluarkan 10 lesen kepada syarikat terlibat namun hanya dua fasiliti mengaktifkan perkhidmatan tersebut.
“Kami terbuka kepada mana-mana bengkel swasta, di mana sahaja mereka ingin buka. Jika mana-mana syarikat lain ingin memohon lesen, ia tersedia.
“Saya menyeru lebih banyak pihak yang berminat menjalankan perniagaan dan perkhidmatan pelupusan kenderaan motor untuk memohon lesen AATF dari pihak JAS agar boleh diberi akses melalui sistem e-Dereg ini,” katanya selepas Lawatan kerja Live Demo Pelupusan Kenderaan dan Langkah mengatasi Kenderaan Terbiar di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Pengurus Car Medic Sdn. Bhd., Joey Kwan berkata, pemilik kenderaan akan menerima bayaran sekiranya memutuskan untuk menggunakan perkhidmatan pelupusan kenderaan di syarikatnya.
Katanya, bagaimanapun, harga adalah berbeza bergantung kepada keadaan kereta, tahap kerosakan dan lokasi pemilik untuk proses tundaan.
“Harga yang kami tawarkan mungkin tidak setinggi fasiliti tanpa AATF namun kaedah yang digunakan adalah mesra alam selain harga termasuk servis trak tunda.
“Kami juga ibarat pusat sehenti, jadi ia lebih mudah bagi orang ramai untuk berurusan tanpa perlu ke kaunter JPJ,” katanya.
Tambah beliau, bagi pemilik yang memerlukan maklumat lanjut atau berminat untuk melupuskan kenderaan, boleh terus berurusan dengan pihak Car Medic Sdn. Bhd. di talian 03-89207555 atau emel kepada [email protected]. – UTUSAN










