PUTRAJAYA: Bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad memaklumkan akan kembali ke arena politik sekiranya diperlukan.
Bagaimanapun pada ketika ini, kes rasuahnya masih belum selesai sepenuhnya kerana pidak pendakwaan masih mempunyai peluang terakhir untuk merayu.
“Saya sudah bersara daripada politik, jadi saya tiada pelan. Politik adalah subjektif, boleh masuk (kembali aktif) dan boleh tidak. Ia bergantung kepada keadaan. Kalau keadaan baik dan memerlukan, saya boleh sertai (kembali) dan kalau sebagai penyokong parti saja, saya tidak berubah.
“Kes pun belum habis lagi, mungkin ada rayuan lain tetapi yang pasti saya adalah penyokong UMNO yang taat setia,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Istana Kehakiman, di sini hari ini.
Sementara itu, isterinya, Puan Seri Bibi Sharliza Mohd. Khalid turut meluahkan rasa syukur atas keputusan mahkamah hari ini dan menyifatkan ia satu kemenangan kepada keluarga selepas melalui tempoh sukar selama enam tahun.
“Setiap hari tanpa gagal suami akan berdoa kepada Allah, lebih dekat dengan Allah dan (Mohd. Isa) tidak pernah berjumpa sesiapa untuk mempengaruhi kes dia,” ujarnya.
Terdahulu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M Komathy Suppiah sebulat suara melepaskan dan membebaskan bekas Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang itu daripada sembilan pertuduhan rasuah berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak, sembilan tahun lalu.
Panel terbabit turut mengetepikan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta yang dikenakan terhadap bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.
Pada 27 September 2018, bekas Ahli Parlimen Jempol itu membuat keputusan keluar parti selepas mengumumkan bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.
Pada 27 Mei 2023, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan Mohd. Isa kembali menyertai UMNO selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meluluskan keahlian Mohd. Isa.
Menyentuh mengenai keputusan Mahkamah Rayuan hari ini, Mohd. Isa mengucapkan rasa syukur kerana dilepaskan dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan tersebut.
“Saya dan isteri serta keluarga melahirkan rasa syukur kepada Allah kerana dengan izin-Nya tuduhan-tuduhan dan kes ini telah selesai. Saya berasa lega dan ini memudahkan saya dan keluarga menjalankan kehidupan seperti biasa. Terima kasih khususnya kepada peguam dan rakan-rakannya kerana telah jalankan tugas dengan baik,” katanya.
Sementara itu, peguam belanya, Datuk Salehuddin Saidin mengesahkan bahawa pihak pendakwaan masih mempunyai peluang akhir untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan hari ini. – UTUSAN










