KUALA LUMPUR: “Saya perlu menjelaskan perkara ini kerana fitnah itu boleh mencemarkan nama baik saya.”
Demikian penegasan pelakon, Izara Aishah yang bersuara membersihkan namanya seleas seorang individu mendakwa dia pernah berkunjung ke kelab malam walaupun sudah berhijab tahun lepas.
Jelas pelakon Kau Yang Satu itu, dakwaan tersebut adalah satu fitnah yang jika terus disebarkan tanpa penjelasan, akan memberi impak negatif kepadanya.
“Gambar ini adalah pada tahun lepas ketika pelancaran restoran Kikyo (restoran Jepun). Waktu itu saya sedang hamil lapan bulan.
“Dakwaan ini adalah fitnah dan saya sudah ‘screenshot’, tak perlu padam,” tulisnya dalam satu ciapan di aplikasi X.
Terdahulu, seorang pengguna X yang menggunakan akaun @pkckAm memberi bayangan peribadi tidak manis Izara selepas seorang pengguna lain memuji kecantikan dan penghijrahan pelakon itu.
Bagaimanapun, individu yang memfitnah itu tampil memohon maaf secara terbuka atas keterlanjuran kata-kata yang dibuat selepas menerima kecaman daripada warganet dan penjelasan Izara.
“Hi Izara, saya ingin memohon maaf secara terbuka mengenai ciapan sebelum ini yang dibuat pada 19 Mac 2024.
“Saya tidak pernah berniat untuk memfitnah atau merosakkan reputasi anda dalam apa cara sekali pun.
“Kenyataan itu dibuat tanpa saya sedar sepenuhnya mengenai majlis pelancaran itu. Saya dengan rendah hati memohon maaf,” ujarnya.










