Malaysia komited bantu Palestin hadapi isu kebuluran - Utusan Malaysia

Malaysia komited bantu Palestin hadapi isu kebuluran

Palestin
AHMAD Zahid Hamidi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama delegasi misi bantuan itu di Pangkalan Udara TUDM Subang, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Malaysia kekal komited meneruskan pelbagai misi kemanusiaan dalam membantu Palestin yang turut mula diancam masalah kebuluran akibat peperangan.

Terbaharu, enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diketuai Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) akan memulakan misi bantuan kecemasan 100 kontena dari Kaherah, Mesir ke Gaza.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kebimbangan dunia kini mengenai nasib kira-kira sejuta rakyat Palestin yang menghadapi kebuluran dan kerajaan komited membelanjakan bantuan RM100 juta bagi membantu negara tersebut.

“Masalah kebuluran itu turut mendapat simpati dunia secara keseluruhannnya termasuk Perdana Menteri negara lain yang bukan beragama Islam.

“Justeru, usaha NGO termasuk MAPIM melaksanakan misi kemanusiaan amat disokong malah Perdana Menteri (Anwar) turut akan menghubungi Fatah As Sisi (Presiden Mesir) petang ini bagi memudahkan penyaluran bantuan itu,” katanya ketika merasmikan majlis flag off misi itu di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, hari ini.

Misi khas itu melibatkan bantuan 100 kontena seberat 1,358 tan yang berisi barangan asas seperti tepung gandum, kotak makanan, selimut dan khemah dengan anggaran bernilai RM12 juta.

Penyaluran bantuan yang dijangka bermula minggu depan itu akan disertai 20 anggota delegasi bagi persiapan penghantaran ke sempadan Rafah menerusi laluan darat.

Tambah Ahmad Zahid, Malaysia tekad untuk terus membela Gaza dan Palestin dalam apa jua keadaan. 

“Dunia sememangnya sudah mengetahui bahawa Gaza berada amat dekat di hati seluruh rakyat negara ini. Justeru, kerajaan sentiasa menyusun dan membantu pelbagai peringkat melibatkan agensi dan organisasi seperti Mapim dan Ops Ihsan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua misi berkenaan, Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, cabaran terbesar pihaknya adalah proses merentasi semenanjung Sinai dan pintu Rafah yang semua bukannya perkara mudah. 

“Menerusi hubungan baik Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Mesir, kerjasama dua hala itu diharap dapat membantu kelancaran misi bantuan ini. Kita tiada banyak pilihan selain terus tekad membantu saudara kita di Gaza yang sedang diuji dengan perang berdepan kezaliman rejim Israel,” jelasnya.

Semua bantuan itu disumbangkan melalui pendanaan NGO termasuk Cinta Gaza Malaysia (CGM), Iman Care Malaysia, Pertubuhan Glokal Ihsan Malaysia disamping NGO luar negara iaitu Federation Of Islamic Associations New Zealand (FIANZ) dan Al-Khair Foundation dari United Kingdom. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN