KUANTAN: Malaysia ‘kehilangan’ hampir 250,000 hektar kawasan yang digunakan untuk penanaman sawit dalam tempoh lima tahun bermula 2019 atas pelbagai faktor termasuk kekurangan pekerja.
Jumlah itu menyamai keluasan 357,000 padang bola sepak.
Difahamkan, penurunan itu disebabkan penukaran tanah untuk tanaman berlainan atau isu lain seperti penyakit yang menjejaskan hasil sawit, kekurangan pekerja, penurunan minat generasi muda bekerja sebagai penuai dan pemungut buah tandan segar serta pertimbangan untuk alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Berdasarkan statistik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), jumlah keluasan tanaman kelapa sawit di Malaysia dalam tempoh lima tahun bermula 2019 menurun 4.2 peratus kepada 5.65 juta hektar daripada 5.90 juta hektar.
Penurunan membabitkan keluasan ladang sawit berjumlah 247,800 hektar.
MPOB dalam kenyataannya kepada Utusan Malaysia memaklumkan, sehingga Januari lalu, Malaysia mempunyai keluasan tanaman kelapa sawit yang berlesen dengan MPOB sebanyak 5.65 juta hektar.
Kata kenyataan itu, jumlah itu merosot sebanyak 0.18 peratus berbanding 5.66 juta hektar pada Januari tahun lalu.
“Daripada jumlah keluasan itu, 822,073 hektar atau 14.5 peratus dan 674,453 hektar atau 12 peratus, masing-masing adalah keluasan bagi pekebun kecil persendirian dan pekebun kecil tersusun.
“Selebihnya, sebanyak 4.16 juta hektar atau 73.6 peratus dimiliki estet swasta dan agensi kerajaan (Persekutuan dan negeri),” katanya, semalam.
Berdasarkan pecahan mengikut negeri sehingga Januari lalu, Sabah dan Sarawak mencatatkan keluasan kawasan sawit tertinggi negara iaitu 3.133 juta hektar.
Negeri-negeri di Semenanjung pula mencatatkan keluasan 2.518 juta hektar dengan Pahang paling tinggi membabitkan 746,070 hektar.
Johor mempunyai keluasan kawasan sawit berjumlah 670,862 hektar, Perak (349,224), Negeri Sembilan (177,467), Terengganu (166,402), Kelantan (158,641), Selangor (104,148) Kedah (85,871) dan Melaka membabitkan 51,083 hektar.
Dua negeri mencatatkan kawasan sawit terendah negara adalah Pulau Pinang (8,234 hektar) dan Perlis 881 hektar.
Berhubung pengeluaran hasil sawit negara pula, pada 2021, hasil diperoleh adalah berjumlah 1.449 juta tan metrik, 2022 (1.618 juta tan metrik) dan menurun kepada 1.550 juta tan metrik pada 2023.
Mengulas tentang penurunan kawasan sawit, Ketua Jabatan Perakaunan, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS), Nor Azah Abdul Jalil berkata, kesan utama berlaku pengurangan pendapatan negara daripada hasil komoditi tersebut.
“Pada seminar tentang jangkaan masa depan industri sawit baru-baru ini, MPOB meramalkan purata harga jualan minyak sawit mentah (MSM) antara RM3,900 hingga RM4,200 satu tan metrik pada 2024. Maka ini memberikan pengurangan kepada hasil daripada sektor agrokomoditi negara.
“Ia juga akan menyebabkan kerugian nilai eksport kerana kekurangan bekalan sawit untuk jualan eksport,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, ia juga akan menyebabkan penurunan dalam stok minyak sawit Malaysia jangkaan kepada 1.95 juta tan metrik, turun sebanyak 14.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Malaysia dan Indonesia menguasai 85 peratus eksport minyak sawit dunia manakala minyak sawit Malaysia menguasai 9.4 peratus pasaran minyak sawit Kesatuan Eropah (EU) atau 1.47 juta tan,” katanya.
Untuk rekod, keluaran MSM Malaysia menurun daripada 19 juta tan metrik pada 2013 kepada 18.6 juta tan metrik pada 2023.
Keluaran MSM Indonesia meningkat daripada 26 juta tan metrik (2013) kepada anggaran 45.8 juta tan metrik (2023). – UTUSAN










