Malaysia berbilang kaum, agama kena saling menghormati

Malaysia minta masyarakat dunia hormati perbezaan kaum, agama

ANWAR IBRAHIM berucap merasmikan Kompleks Sukan Al-Taqwa di Kolej Al-Taqwa di Melbourne, Australia.- GAMBAR/FACEBOOK ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia meminta masyarakat dunia supaya sentiasa menghormati perbezaan kaum dan agama dengan sentiasa mengamalkan sikap tolak ansur antara satu sama lain untuk hidup sebagai sebuah komuniti. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dunia boleh menjadikan Australia sebagai contoh untuk menghormati komuniti minoriti Islam di negara itu dalam kalangan masyarakatnya.

Menurut beliau, agama Islam di Malaysia adalah agama Persekutuan dan ini bermakna masyarakat perlu mempertingkat dan mengukuhkan teras syariah bagi umat Islam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tetapi pada masa sama, kami tetap memelihara dan memastikan kebajikan orang bukan Islam sama-sama dilindungi kerana mereka adalah warganegara yang sama di bawah undang-undang, begitu juga di Australia.

“Masyarakat berbilang kaum dan agama perlu sentiasa menghormati dan bertolak ansur antara satu sama lain untuk hidup sebagai sebuah komuniti,” katanya ketika berucap merasmikan Kompleks Sukan Al-Taqwa di Kolej Al-Taqwa di Melbourne, Australia.

Dalam majlis itu, Perdana Menteri dibawa melihat kawasan sekitar selain ditemuramah pelajar kolej berkaitan isu global, Gaza, Islamophobia dan terkait Islam.

Semalam, Anwar dan isteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne bagi lawatan rasmi ke Australia dan mengetuai delegasi Malaysia ke dua program utama iaitu Mesyuarat Pemimpin Tahunan Malaysia-Australia dan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia.

Lawatan itu juga atas jemputan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese yang mana ia akan melibatkan beberapa mesyuarat dan pertemuan penting, perbincangan meja bulat dan juga secara langsung dengan ketua-ketua industri di Melbourne, sebelum ke Canberra pada hari terakhir lawatan pada 7 Mac.

Sebelum ini, Wisma Putra memaklumkan Malaysia dijangka memperhalusi kerjasama di bawah kerangka kerjasama komprehensif strategik bersama Australia menerusi lawatan rasmi empat hari Perdana Menteri, ke negara tersebut.

Ia termasuk sektor perdagangan dan pelaburan, pendidikan, ekonomi digital dan keselamatan siber. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini