MAIWP bantu 10,000 pelajar beraya dengan keluarga

MAIWP bantu 10,000 pelajar beraya dengan keluarga

Syed Kamarulzaman Syed Kabeer memberi cenderahati kepada mahasiswa yang mendapat tajaan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada Majlis Pelancaran Jom Balik Raya Bersama Mahasiswa di Universiti Poli-Tech Malaysia, Kuala Lumpur di sini, malam tadi. -UTUSAN/AMARULLAH ZAINUZZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menghantar seramai 10,000 pelajar di Lembah Klang untuk pulang ke kampung halaman mereka di seluruh negara bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga.

Pengerusinya, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata, usaha tersebut melibatkan pelajar kurang berkemampuan daripada lapan buah universiti awam dan swasta yang perjalanan mereka ditanggung sepenuhnya oleh MAIWP.

Kata beliau, MAIWP menaja pelajar-pelajar tersebut bersempena program Jom Balik Raya Bersama Mahasiswa yang diadakan buat kali kedua tahun ini.

Syed Kamarulzaman Syed Kabeer melepaskan bas yang membawa pelajar pada program pelancaran Jom Balik Raya Bersama Mahasiswa di Universiti Poli-Tech Malaysia, Kuala Lumpur, malam tadi. – UTUSAN/AMARULLAH ZAINUZZAMAN

 

“Sumbangan ini merangkumi bantuan tiket bas, kapal terbang dan wang saku sepanjang perjalanan dengan melibatkan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM1.628 juta.

“Semoga para pelajar dapat menikmati waktu bersama-sama dengan keluarga. Hari raya adalah masa untuk mengerat hubungan keluarga. Ingatlah untuk sentiasa bersyukur dengan nikmat yang telah diberikan Allah SWT dan kasih sayang serta perhatian semua orang terdekat kepada anda,” katanya pada majlis pelancaran program tersebut, di sini, malam tadi.

Antara universiti yang terlibat adalah Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI), Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL), Universiti Malaya (UM), Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Sebahagian daripada pelajar yang menerima tajaan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada program pelancaran Jom Balik Raya Bersama Mahasiswa di Universiti Poli-Tech Malaysia, Kuala Lumpur, malam tadi. – UTUSAN/AMARULLAH ZAINUZZAMAN

Selain itu, Universiti Kebangsaan Malaysia Kuala Lumpur (UKM KL), Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) dan Kolej Islam Antarabangsa (KIA).

Mengulas lanjut, Syed Kamarulzaman berkata, tahun ini MAIWP merekodkan peningkatan dari segi jumlah pelajar yang dibantu untuk pulang ke kampung halaman berbanding tahun lalu iaitu hanya 1,576 pelajar.

“Tahun ini peruntukan lebih besar daripada tahun lalu. Sebab itu kita dapat meningkatkan jumlah pelajar yang dibantu.

“Insya-Allah program ini akan diteruskan pada tahun akan datang. Kita harap pembayar zakat terus membayar zakat kerana lebih banyak jumlahnya lebih banyak dapat kita salurkan kepada mereka yang memerlukan,” jelasnya.

Pelbagai program kebajikan dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hasil daripada wang zakat yang dibayar oleh umat Islam.

Dalam pada itu, Syed Kamarulzaman berkata, MAIWP turut menggerakkan inisiatif Gerobok Rezeki yang dilakukan sejak 2019 dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Jelasnya, inisiatif tersebut diperluaskan lagi kepada universiti-universiti di sekitar Kuala Lumpur dan dengan kerjasama daripada Persatuan Empayar Kebajikan Malaysia (Empire Project).

“Jumlah keseluruhan peruntukan Gerobok Rezeki Universiti adalah sebanyak RM3 juta. Saya ingin berterima kasih kepada semua institusi pendidikan tinggi (IPT) yang terlibat dalam program tersebut. Ini membuktikan pihak universiti sentiasa peka dengan pemasalahan dan keperluan pelajar-pelajar.

“Saya dimaklumkan Gerobok Rezeki bukan hanya menyediakan barangan makanan kering tetapi juga peralatan belajar dan barangan kebersihan diri. Dengan ini, saya berharap tidak ada pelajar mengikat perut atau terpaksa menahan lapar akibat kekangan kewangan,” katanya.

Tambahnya, beliau turut menitip pesanan kepada pelajar-pelajar terlibat untuk memanfaatkan cuti raya mereka bersama keluarga dan orang tersayang.

“Saya mendoakan semua pelajar selamat balik ke kampung halaman dan semoga perjalanan anda semua lancar serta selamat sampai ke destinasi di kampung halaman masing-masing,” ujarnya.

Pelajar bersyukur ditaja pulang ke kampung halaman

Sementara itu, pelajar jurusan perubatan, Ahmad Nabil Abidin, 20, berkata, beliau bersyukur kepada MAIWP kerana menaja perjalanannya untuk pulang beraya ke Sabah.

Jelasnya, kos untuk pulang beraya di Sabah amat tinggi kerana harga kapal tiket kapal terbang dan oleh kerana itu pemberian bantuan daripada MAIWP amat dihargai.

“Tidak dinafikan harga tiket kapal terbang sangat mahal. Oleh kerana itu saya rasa sangat bersyukur atas kesempatan dan ruang diberikan kepada saya.

“Jadi saya ingin mengatakan terima kasih kepada MAIWP, walaupun saya berasal dari Negeri Di bawah Bayu iaitu jauh dari sini tetapi saya tetap turut diberi bantuan,” katanya.

Sependapat dengan itu, pelajar jurusan perakaunan, Syarafana Juliana Zainal Abidin, 25, berkata, bantuan daripada MAIWP itu mampu mengurangkan kos perbelanjaan untuk pulang beraya dan ia boleh digunakan untuk tujuan pendidikan.

“Saya bersyukur dapat bantuan untuk pulang beraya ke Terengganu daripada MAIWP tahun ini, duit lebih yang ada saya boleh gunakan untuk tujuan pendidikan selepas kembali ke kampus.

“Saya sangat gembira sebab ini pertama kali saya pulang beraya dengan bantuan daripada MAIWP selepas menyambung pengajian di sini.

“Saya harap program seperti ini dapat diteruskan bagi memberi peluang kepada pelajar-pelajar yang tidak berkemampuan untuk pulang beraya bersama keluarga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN