SHAH ALAM: Lima lelaki dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, atas pertuduhan membunuh seorang wanita warga emas dan mencederakan cucunya di Sabak Bernam, lima tahun lalu.
Kesemua tertuduh iaitu A. Sri Mahavishnu, 42; S. Kannadasan; E. Venthaan; T. Devaraju dan K. Vikkines Varan yang masing-masing berusia 33 tahun.
Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terutama berkaitan faktor identiti dan alibi.
Menurutnya, mahkamah telah meneliti nota keterangan, hujahan kedua-dua pihak dan membandingkan kes pendakwaan.
“Dalam kes ini, isu utama adalah berkaitan identiti. Pihak pembelaan mengemukakan notis alibi dan saksi mereka.
“Selepas mengambil kira kes kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah dan melepaskan serta membebaskan kesemua tertuduh,” katanya ketika keputusan akhir pembelaan itu.
Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membunuh P. Runkanaikey, 78, di sebuah rumah di Kampung Tebuk Pulai, Sabak Bernam antara pukul 3.30 pagi hingga 4.30 pagi, 12 Ogos 2019.
Selain itu, kesemua tertuduh didakwa mencederakan N. Silamparasan, 27, dengan cara menetak di tangan, bahu dan kaki pada tarikh dan lokasi sama.
Justeru, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 dan 324 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammed Heikal Ismail manakala tertuduh masing-masing diwakili peguam Zaleha Al-Hayat, GS Gabriel dan Dinesh Muthal.
Seramai 14 saksi pendakwaan dan 12 saksi pembelaan dipanggil sepanjang tempoh perbicaraan kes sejak 15 November 2021.
Sementara itu, anak mangsa yang enggan dikenali ketika ditemui berkata, dia sekeluarga amat sedih dengan keputusan berkenaan dan mahu mengemukakan rayuan.
“Saya mengikuti kes ini di mahkamah sejak awal dan berharap ada keputusan yang munasabah. Namun, saya sedih kelima-lima lelaki itu dibebaskan sedangkan ibu sudah lima tahun tiada akibat dibunuh,” luah wanita berusia 50-an itu.
Sebelum ini media melaporkan siasatan awal polis mendapati cucu mangsa yang juga penjual kelapa menyedari kehadiran seseorang di hadapan rumah didiami bersama neneknya itu.
Sebelum sempat mengejutkan neneknya, suspek sudah memecah masuk menerusi pintu hadapan dan menetak wanita itu sehingga mati.
Sewaktu mahu menyelamatkan diri, dia turut ditetak sehingga parah selain dompet, rantai emas, wang tunai dan sebuah kenderaan turut dilarikan suspek. – UTUSAN










