Rakyat tinggal di bandar lebih tertekan, kos sara hidup tinggi

Lebih 40,000 ketua isi rumah bandar dalam kategori miskin bandar

Walaupun menerima gaji kompetitif, penduduk bandar terpaksa berhadapan kos sara hidup tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 40,000 ketua isi rumah yang bekerja dan menetap di bandar tergolong dalam kategori miskin bandar, berpunca daripada kenaikan kos sara hidup.

Namun, realiti kehidupan sebenar penduduk berpendapatan rendah di bandar-bandar adalah jauh lebih sukar berbanding persepsi yang selama ini membawa naratif hidup di bandar akan senang.

Insiden kemiskinan di bandar turut meningkat daripada 3.9 peratus pada tahun 2019 kepada 4.5 peratus pada 2022 manakala bagi kawasan di luar bandar pula mencatatkan penurunan daripada 12.4 peratus kepada 12.0 peratus pada tempoh yang sama.

Pendapatan isi rumah M40 dalam lingkungan RM7,000 sehingga ke RM10,000 tetapi hidup di bandar raya seperti Kuala Lumpur, Shah Alam, Pulau Pinang dan Johor Bahru menyebabkan mereka tergolong dalam B40.

Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kos sara hidup yang semakin meningkat menyebabkan rakyat yang hidup di bandar menjadi lebih tertekan.

Katanya, ini menyebabkan miskin bandar meningkat apabila purata perbelanjaan isi rumah di bandar mencecah RM7,000 sebulan.

“Bukan sahaja golongan B40 yang akan menjadi miskin bandar, malahan golongan M40 juga akan dikategorikan sebagai miskin bandar jika kos sara hidup berterusan meningkat.

“Bandar menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan dengan kadar gaji yang lebih kompetitif seperti gaji minimum RM1,500, namun hakikatnya kos sara hidup di bandar lebih tinggi daripada tempat lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Semalam akhbar ini melaporkan, kehidupan penduduk berpendapatan rendah di kawasan bandar adalah jauh lebih sukar berbanding persepsi yang selama ini kononnya mereka mampu hidup senang.

Aktivis sosial tempatan, Dr. Lin Mui Kiang ketika menjadi ahli panel Diskusi Madani 2 bersempena dengan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 berkata, kelompok itu mengalami kemiskinan akibat kos sara hidup tinggi.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Penggalakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) berkata, ramai berhijrah dari luar bandar kerana menyangka konon mampu mengubah nasib diri tetapi apa yang berlaku, kehidupan mereka jadi miskin malahan jauh lebih perit.

Ahmed Razman berkata, migrasi juga menyebabkan kadar miskin bandar meningkat dan ini bukan isu yang baharu kerana migrasi dari luar bandar ke bandar telah lama berlaku menyebabkan jumlah penduduk di bandar melebihi penduduk luar bandar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN