Kes selesai, Iddin Syah setuju minta maaf kepada Cheta Pot Pet

Kes selesai, Iddin Syah setuju minta maaf kepada Cheta Pot Pet

ROZITA Baharom (tengah) bersama peguam-peguamnya selepas mendengar keputusan berkaitan kes saman fitnah yang difailkannya sebelum ini terhadap Muhammad Iddin Syah Mohd. Fuzi di Mahkamah Tinggi George Town, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : “Hampir setahun saya menanti saat ini. Kita pun bukan nak panjang-panjangkan isu dan kalau boleh memang nak selesaikan dengan cara baik macam ini.”

Itu kata usahawan kosmetik, Rozita Baharom, 37, atau dikenali sebagai Cheta Pot Pet selepas kes saman fitnah yang difailkannya terhadap seorang pempengaruh media sosial, Muhammad Iddin Syah Mohd. Fuzi, 29, atau Iddin Syah berjaya diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Jelas Rozita, demi maruah dirinya dan keluarga, dia memilih untuk lebih banyak berdiam diri dan menyerahkan perkara tersebut untuk diselesaikan sepenuhnya mengikut lunas undang-undang.

“Dalam hal ini, saya turut berterima kasih kepada defendan (Iddin Syah) kerana melancarkan urusan mahkamah hari ini. Hampir setahun (selepas kes difailkan) dan kesannya sangat besar. Apapun saya bersyukur kerana ia selesai dalam bulan yang baik ini (Ramadan),” katanya yang diwakili peguam, K. Mahendran ketika ditemui pemberita, hari ini.

Terdahulu, Iddin Syah selaku defendan bersetuju untuk membuat hantaran maaf secara pemuatan naik video pada garis masa di beberapa laman sosial miliknya seperti Facebook, Instagram serta TikTok bagi segala kata-kata yang diterbitkan terhadap plaintif iaitu Rozita yang menjadi subjek kepada tuntutan itu.

Pemuatan naik video itu kekal selama 10 hari bermula dari tarikh perintah tersebut dikeluarkan selain kedua-dua pihak bersetuju juga untuk tidak memanjangkan lagi isu-isu berkaitan.

Pada masa yang sama, defendan turut menyatakan persetujuan untuk menurunkan apa-apa penerbitan yang menjadi subjek tuntutan itu serta membuat permohonan maaf di mahkamah terbuka bagi segala kata-kata yang diterbitkan terhadap plaintif sebelum ini.

Selain itu, defendan juga bersetuju menarik balik kes yang difailkan di Mahkamah Sesyen Butterworth mengenai writ saman yang berkaitan tanpa sebarang kos serta tanpa kebebasan untuk memfailkannya semula.

Hakim Datuk P. Anand kemudian berpuas hati dan berterima kasih kepada kedua-dua pihak kerana berjaya menyelesaikan kemelut yang timbul itu dengan perdamaian.

“Kamu berdua adalah ‘influencer’ (pempengaruh) yang dikenali dan orang bisnes. Jadi, saya harap semua boleh ‘move on’ (teruskan) dengan kehidupan masing-masing selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, peguam Iddin Syah, Rafique Rashid memberitahu, anak guamnya itu bersetuju untuk tidak memanjangkan kes berkenaan kerana mahu memberi keutamaan kepada perniagaan yang diusahakannya ketika ini selain bersetuju untuk menyelesaikan tuntutan sebanyak RM150,000 itu secara baik dengan Rozita.

MUHAMMAD Iddin Syah Mohd. Fuzi (tengah) kelihatan ceria apabila kes saman fitnah yang difailkan terhadapnya oleh Rozita Baharom berjaya diselesaikan secara baik selepas dia membuat permohonan maaf di Mahkamah Tinggi George Town, Pulau Pinang

Iddin Syah sebelum ini mendakwa telah ditipu oleh Rozita sebanyak RM150,000 sebelum usahawan kosmetik itu bertindak memfailkan tuntutan saman termasuk injunksi ganti rugi teladan berjumlah RM16 juta terhadap pempengaruh media sosial itu kerana mendakwa telah difitnah pada Ogos tahun lepas.

Rozita yang juga seorang selebriti mendakwa, tindakan Iddin Syah memfitnahnya telah menjejaskan perniagaan beliau selain memberi kesan yang besar terhadap keluarga terutama anak-anaknya ketika itu. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN