Kes curang meningkat, Sarimah Ibrahim minta jangan ragui perkahwinan - Utusan Malaysia

Kes curang meningkat, Sarimah Ibrahim minta jangan ragui perkahwinan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SATU demi satu kes curang dalam rumah tangga membabitkan orang ketiga semakin mendapat perhatian akhir-akhir ini. Naskhah drama yang ditampilkan di layar perak turut memaparkan hal serupa, menambah keraguan penonton terhadap alam perkahwinan.

Pelakon dan pengacara, Sarimah Ibrahim berpandangan skrip mahupun lirik yang cenderung membahaskan perkara ini akan memberikan mesej tidak baik kepada penonton. 

Sembilan tahun melayari bahtera rumah tangga bersama suami, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar, Sarimah cuba meyakinkan masyarakat bahawa masih wujud institusi perkahwinan yang bahagia asalkan kedua-dua pasangan mampu menyelesaikan konflik dan berkomunikasi secara matang.

“Saya percaya perkahwinan sesuatu yang menakjubkan. Cuma kita kena hentikan budaya ambil jalan mudah untuk selesaikan masalah. Apabila kita ambil penyelesaian segera, kita mungkin tersilap langkah dan membuka peluang kepada campur tangan orang ketiga.

“Dalam perkahwinan, ramai suami isteri yang tidak menerima pasangan mereka seadanya. Mereka hanya menyukai dan mencintai pasangan mereka dalam kondisi tertentu sahaja.

“Kita perlu ada pandangan yang realistik untuk tahu dan terima baik buruk pasangan kita. Janganlah kita harapkan pasangan kita ubah perangai buruknya dalam tempoh seminggu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Pemenang Anugerah Pengacara Terbaik, Anugerah Seri Angkasa 2011 itu juga mengatakan mereka yang curang atau rela menjadi penyondol dalam rumah tangga mempunyai masalah kesihatan mental yang perlu diubati. 

“Curang adalah cara yang seseorang lakukan sekiranya mereka rasa tidak bahagia. Jika ada rasa sebegitu, pergilah berjumpa pakar terapi dan suarakan dengan berani apa yang kita rasa kepada pasangan. 

“Ada yang tidak mampu untuk berkomunikasi dengan pasangan membuatkannya memendam, marah dan bertindak memukul pasangan,” katanya.

KEMBALI BERLAKON SELEPAS 15 TAHUN

Membawa watak Qaidah dalam drama terbaru bertajuk Lelaki Itu, Sarimah menjanjikan lakonan yang tidak klise hasil pembelajarannya dengan beberapa guru lakonan termasuk, Gerry Grennell dalam tempoh tiga tahun ini.

“Saya merindui dunia lakonan. Selepas bertemu dengan Erma Fatima di sebuah acara. Dia menawarkan saya naskhah yang berbeza dan menarik.

“Kita kena hor­mati kerja penulis skrip dan pengarah. Jadi saya berikan lakonan yang tidak klise dan penampilan yang sangat berbeza.

“Tidak semestinya yang kita nampak teruk itu teruk dan begitu juga sebaliknya. Saya tidak hanya sekadar berlakon malah menjadi Qaidah dalam naskhah ini,” katanya.

Lelaki Itu menampilkan Datuk Adi Putra, Fazura, Nabila Huda, Aedy Ashraf, Hannah Delisha, Nadia Brian, Sophia Albarakbah dan Fadlan Hazim. Drama tersebut akan dita­yangkan bermula 19 Mac ini di TV3.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya