Kerajaan sasar kumpul 300,000 kilogram minyak masak terpakai

Kerajaan sasar kumpul 300,000 kilogram minyak masak terpakai

JOHARI Abdul Ghani, Timbalan Ketua Setiausaha (Komoditi), Datuk Razali Mohamad dan Pengarah Urusan Petronas Dagangan Berhad, Azrul Osman Rani (kanan) melakukan gimik mengumpul minyak masak terpakai ke dalam tong kutipan sempena pelancaran Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai dan Ikhlas Ramadan bersama Gas Petronas di Bazar Ramadan Desa Pandan, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan dengan kerjasama Petronas menyasarkan pengumpulan sebanyak 300,000 kilogram (kg) minyak masak terpakai pada tahun ini.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, untuk mencapai sasaran tersebut kementeriannya bersama Petronas menyasarkan stesen minyak dapat ditambah di seluruh negara dari 35 ke 55 stesen.

Menurut beliau, usaha tersebut diharap berjaya menarik penyertaaan sebanyak 15,000 orang awam.

“(Ini) bagaimana kita dapat membudayakan (aktiviti) kitar semula minyak masak, bukan dibuang di mana-mana tempat tetapi diberi ke kawasan untuk tujuan pengumpulan. Petronas telah menjanjikan akan membuka 55 stesen untuk tujuan itu.

“Setiap satu kg minyak masak itu, Petronas akan membayar RM3. Jadi contohnya, kita beli minyak masak lima kg di pasar raya kemudian selepas sebulan ada empat kg yang sudah diguna pakai. Ia boleh disimpan dan boleh dijual di stesen-stesen Petronas itu,” katanya kepada media selepas Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai Sempena Ikhlas bersama Gas Petronas di Bazar Ramadan, di sini.

Mengulas lanjut, Johari berkata, aktiviti mengitar semula minyak masak perlu dibudayakan supaya ia tidak menjadi seperti tindakan membuang sampah sahaja.

“Apabila kita buang sampah dan orang kutip, kita tidak dapat apa-apa tapi bandar raya pula akan mengeluarkan kos untuk kutip sampah kita buang rata-rata ini. 

“Jadi, minyak masak tu jangan buang, simpan dalam tong dan kemudian bawa ke stesen-stesen Petronas, di mana mereka akan membeli (minyak masak tersebut).

“Kita nak membudayakan kitar semula minyak masak ini sebab kita pengeluar minyak masak kelapa sawit,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, Petronas sudah mengutip sebanyak 205 tan minyak masak terpakai dan dijangka pada tahun ini akan mencapai 300 tan.

Tambahnya, minyak masak terpakai mempunyai nilai tersendiri yang dapat menguntungkan negara.

“Walaupun minyak masak itu sudah terpakai tetapi sebenarnya ia mempunyai nilai untuk kita buat satu kitaran pusaran ekonomi yang baharu.

“Minyak-minyak masak terpakai itu boleh diproses semula untuk mewujudkan sustainable aviation fuel atau minyak yang boleh diguna pakai dalam penerbangan.

“Petronas sedang mengkaji kilang memproses ini tetapi ia akan lihat bagaimana kita boleh membudayakan budaya kitar semula minyak masak yang terpakai,” katanya.

Untuk rekod, program pengumpulan minyak masak terpakai itu bukan sahaja di stesen minyak Petronas tetapi juga di bazar-bazar Ramadan yang terpilih antaranya di Desa Pandan, USJ4, Bandar Kinrara, Puchong Prima dan Puncak Jalil (PUJ3). –UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN