PUTRAJAYA: Jemaah Menteri hari ini meluluskan cadangan pembangunan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerja-kerja pembinaan projek itu disasarkan bermula tahun ini yang dijangka mengambil masa lebih kurang enam tahun dan beroperasi pada tahun 2030.
Beliau berkata, dengan keputusan Jemaah Menteri ini, maka secara rasminya Kerajaan Persekutuan mengambil alih Projek LRT Laluan Mutiara daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
“Kerajaan akan mempertimbangkan kaedah pembiayaan projek yang sesuai sama ada melalui Peruntukan Pembangunan ataupun kaedah lain yang sesuai.
“Jajaran LRT Laluan Mutiara akan bermula dari Pulau Silikon hingga ke KOMTAR dan seterusnya menyeberang ke Penang Sentral di Seberang Perai untuk memberi ketersambungan kepada rangkaian keretapi KTM Komuter and ETS sedia ada.
“Jarak jajaran dianggarkan lebih kurang 29 kilometer dengan 20 stesen termasuk 2 stesen pertukaran, iaitu di Stesen Komtar dan Stesen Penang Sentral,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Katanya, secara rasmi, kerajaan juga memutuskan untuk melantik MRT Corp, syarikat 100 peratus milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc), sebagai pemaju dan pemilik aset untuk projek tersebut.
Loke berkata, perolehan projek ini terbahagi kepada tiga komponen iaitu kontrak untuk kerja-kerja pembinaan sivil untuk Segmen 1 iaitu Jajaran Pulau Silikon ke KOMTAR.
Menurutnya, SRS Consortium Sdn Bhd (SRS) akan ditawarkan kontrak ini melalui mekanisme ‘Single Sourcing Request for Proposal’.
“Tawaran ini adalah berdasarkan permintaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang melantik SRS sebagai Rakan Pelaksana Projek kepada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang merangkumi LRT Laluan Mutiara melalui tender terbuka pada Ogos 2015.
“SRS juga melaksanakan kajian teknikal dan reka bentuk awalan di samping memperolehi kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), Penilaian Kesan Sosial (SIA) dan Skim Kereta Api bersyarat. Kesemua usaha ini telah dibiayai dahulu oleh SRS Consortium.
“Nilai kontrak dan butiran terperinci yang berkaitan adalah tertakluk kepada proses rundingan antara MRT Corp dan SRS yang perlu dimuktamadkan dalam tempoh masa enam bulan,” katanya.
Selain itu, katanya, kontrak untuk pembinaan sivil bagi Segmen 2 iaitu jajaran dari KOMTAR ke Penang Sentral akan ditawarkan melalui tender terbuka termasuk kontrak turnkey kerja-kerja sistem dan stokereta secara Build-Maintain-Transfer (BMT).
Ditanya anggaran kos projek berkenaan, Loke berkata, beliau tidak mahu mendedahkan perkara itu buat masa ini kerana masih ada rundingan sedang berjalan.
“Saya yakin projek ini bukan saja memanfaat warga Pulau Pinang malah memudahkan perjalanan pekerja yang berulang alik dari Perlis, Kedah dan Perak Utara setiap hari dengan kesinambunngan bersama rangkaian KTM,” katanya. – UTUSAN











