SEMASA Cik Bunga turun padang ke majlis tayangan perdana filem Korsakoff di ibu negara baru-baru ini, Cik Bunga ada terdengar mengenai cakap-cakap belakang pasal pelakon utama naskhah garapan syarikat produksi, D’Alpha Legacy itu.
Pelakon utama filem itu ialah Elly Arifin dan Cik Bunga tengok hasil lakonannya okey dan tak adalah kayu macam segelintir pelakon lain.
Ada antaranya, yang dah lama berlakon pun lakonan masih kayu. Entah-entah, kalau diberi tugas pegang watak yang macam Elly bawakan dalam filem Korsakoff itu pun tak boleh agaknya.
Jadi, apabila Cik Bunga dengar ada yang kata watak Jelita yang dibawa oleh Elly itu sepatutnya diberikan kepada pelakon lain, Cik Bunga rasa macam tak seronok juga dengar.
Bukan apa, Cik Bunga percaya, industri pun dah boleh beri ruang kepada orang baharu untuk ke depan.
Kalau asyik muka yang sama saja, balik-balik yang itu saja, macam hidup dalam kepompong pun ada.
Jadi, tak baiklah nak pertikai rezeki Elly bila dia diberi tanggungjawab itu. Lagipun, kalau tak silap, Elly semasa diberi peranan itu, dia masih bernaung di bawah D’Alpha Legacy sebagai talent di situ.
Cuma sekarang rasanya dia dah bergerak sendiri. Relevan saja untuk Elly pegang watak utama itu. Lagipun dia boleh bawakannya dengan baik.
Setakat yang diperhatikan, bagi Cik Bunga, dia ada potensi bakat untuk diketengahkan lagi dalam bidang lakonan.
Rasanya, Elly pun pernah maklum yang dia mahu kembangkan lagi kerjaya seninya dalam bidang lakonan pula setelah sebelum ini menjadi pengacara, juruhebah radio selain cuba-cuba menyanyi.
Kalau selepas ini ada produksi, pengarah atau penerbit yang mahu ambil Elly berlakon, mengapa tidak bukan?
Macam Cik Bunga katakanlah, berilah peluang kepada muka-muka baharu pula untuk kembangkan bakat.
Iyalah, bila lagi kita hendak tengok industri seni ini meriah dengan orang yang berbakat. Mereka yang tak ada bakat langsung tapi menyibuk juga itu tak payahlah kita beri muka.










