Kenaikan SST 2 peratus: Rakyat tetap nikmati pembangunan

Kenaikan SST 2 peratus: Rakyat tetap nikmati pembangunan

Notis tentang kadar baharu SST yang dipamerkan oleh sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor berkuatkuasa 1 Mac lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenaikan 2% cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dilihat munasabah kerana hasil kutipan akan dipulangkan semula kepada 33.5 juta rakyat Malaysia.

Ini kerana dijangka sebanyak RM3 bilion dapat dikutip menerusi peningkatan kadar cukai itu dan kemudian perlu disalurkan kepada golongan memerlukan.

Malah, kadar SST 2% daripada 6 kepada 8% bermula 1 Mac lalu tidak melibatkan barangan dan perkhidmatan yang sering diperlukan khususnya rakyat berpendapatan sederhana dan rendah.

Penasihat Dasar Percukaian Kanan KPMG, Veerinderjit Singh, berkata kadar kenaikan SST disifatkan munasabah namun kerajaan mesti mencari jalan memastikan peningkatan tidak menyebabkan kenaikan harga terlalu tinggi.

Veerinderjit Singh

Katanya, selain itu ia boleh digunakan bagi melaksanakan bajet seimbang pada masa akan datang.

“Kerajaan perlu membina pendapatan melalui cukai. Kita sudah bercakap tentang reformasi percukaian tetapi bagaimana anda mahu melakukan reformasi tanpa menaikkan cukai?” katanya.

Bermula 1 Mac lalu, kerajaan menaikkan kadar SST daripada 6 kepada 8% menerusi Peluasan Asas Fiskal bawah Komitmen Reformasi Fiskal ketika pengumuman Belanjawan 2024 tahun lalu.

Bagaimanapun, kenaikan itu tidak membabitkan keperluan asas atau harian seperti makanan dan minuman, tempat letak kenderaan, telekomunikasi, logistik, penggunaan elektrik bawah 600 kilowatt-jam (kWj) dan perkhidmatan air dirawat.

Sebaliknya, SST 8% itu hanya dikenakan kepada aktiviti berkaitan perkhidmatan yang bukan keutamaan seperti mengunjungi pusat karaoke, hotel, loteri, mesin perjudian dan perkhidmatan e-dagang serta insurans dan takaful.

Justeru, peningkatan SST hanya memberi kesan minimum kepada pengguna dan sektor perniagaan.

Veerinderjit berkata, impak kenaikan SST tidak terlalu ketara kepada pengguna.

“Sebagai contoh, jika bil membaiki pendingin hawa adalah RM300, bayaran termasuk cukai RM324. Ia tidaklah besar sangat. Nasib baik peningkatan hanya terpakai kepada beberapa jenis perkhidmatan sahaja,” katanya.

Pakar percukaian itu menegaskan, kadar cukai tambahan itu hanya dikenakan kepada sektor terpilih manakala sesetengah perniagaan besar mungkin menampung kos tambahan dengan insentif cukai yang bakal diterima.

Dalam pada itu, Veerinderjit berkata, makanan dan perkhidmatan telekomunikasi dikecualikan kenaikan SST.

Beliau memuji langkah kerajaan mengecualikan makanan dan minuman termasuk sektor telekomunikasi daripada berdepan kenaikan, selain menekankan semuanya adalah keperluan rakyat.

Katanya, rakyat perlu memahami kerajaan perlu menambah pendapatan melalui cukai.

“Jadi, kena terima. Kita perlu lebih bijak uruskan bajet,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kerajaan seharusnya menumpukan kepada pemansuhan cukai bagi transaksi antara perniagaan dan memberikan pemotongan cukai demi mengurangkan impak peningkatan harga.

Katanya, penghapusan “cukai atas cukai” (mengenakan cukai di setiap rantaian bekalan) akan mengekang kesan berganda kenaikan SST dan mengurangkan beban keseluruhan cukai kepada perniagaan dan pengguna.

Menurutnya, selain itu kerajaan perlu menyasarkan bajet lebihan pada masa hadapan.

“Ia akan membantu ketika berdepan situasi luar jangka bagi kegunaan mendesak,” katanya.

Rakan Kongsi Pengurusan Percukaian EY, Farah Rosley pula berkata perniagaan besar sebenarnya memperoleh beberapa bentuk insentif cukai antaranya elaun cukai pelaburan bagi perbelanjaan modal.

FARAH ROSLEY

“Jadi, perniagaan besar mungkin membayar tambahan 2% SST, namun mereka juga mendapat pengurangan, elaun cukai pelaburan dan ‘pioneer incentives’,” katanya.

Dalam pada itu katanya, tambahan pendapatan daripada hasil kenaikan SST perlu digunakan bagi memacu ekonomi.

Katanya, ia penting terutama ketika ekonomi global dibelenggu krisis.

Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, ketika memperincikan perkembangan itu memaklumkan rakyat tidak dibebani dengan kadar cukai kepenggunaan yang lebih tinggi khususnya dalam perkhidmatan keperluan penting seperti makanan dan minuman, tempat letak kenderaan, telekomunikasi dan logistik.

Menyentuh kesan SST kepada bil elektrik, ia membabitkan mereka yang menggunakan lebih daripada 600kWj sahaja sekali gus bermakna kira-kira 85% pengguna tidak terlibat kerana mereka berada di luar ambang. SST juga tidak akan dikenakan kepada perkhidmatan air dirawat.

Oleh itu, peniaga dan syarikat pengendali perkhidmatan diingatkan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan mereka khususnya keperluan harian bagi mengaut keuntungan berlipat ganda sekali gus membebankan rakyat.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, berkata tindakan tegas akan dikenakan terhadap peniaga yang bertindak sesuka hati menaikkan harga barangan kesan susulan kenaikan 2% SST.

Beliau berkata, pihaknya melancarkan Ops Kesan dengan menggerakkan seluruh penguat kuasa bagi memastikan tiada cubaan peniaga mengambil kesempatan terhadap pengguna.

“Langkah penguatkuasaan ini akan ditumpukan bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi mengesan sebarang tindakan mencatut atau menaikkan harga secara tidak munasabah,” katanya.

Katanya, mana-mana pihak melakukan kesalahan mencatut boleh didenda sehingga RM100,000 bagi individu atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat tidak melebihi RM500,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN