PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) meramalkan cuaca panas yang melanda negara ketika ini akan berlarutan sehingga April dengan kemuncaknya bermula penghujung bulan ini.
Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata, cuaca panas itu menyaksikan kebanyakan kawasan di seluruh negara termasuk di Lembah Klang mencatatkan suhu maksimum harian melebihi 35 darjah Celsius.
Sehingga kini, beliau berkata, suhu maksimum tertinggi yang dicatatkan di negara ini adalah 39.3 darjah Celsius di daerah Pokok Sena, Kedah pada 21 Mac lalu, manakala di Lembah Klang adalah 37 darjah Celsius yang dicatatkan kelmarin.
“Berdasarkan rekod sedia ada, kemuncak cuaca panas adalah pada penghujung Mac sehingga awal April.
“Semasa kemuncaknya, banyak kawasan akan berada dalam status suhu panas tahap berjaga-jaga dan tahap gelombang haba,” katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia, semalam.
Untuk rekod, tahap berjaga-jaga menyaksikan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Tahap gelombang haba pula menyaksikan suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan, beberapa kawasan di Lembah Klang mencatatkan suhu sehingga 35 darjah Celsius dengan kawasan seperti Shah Alam direkod sebagai ‘excessive heat’ atau suhu terlalu tinggi iaitu 33°C dan akan terasa seperti 41°C.
Suhu terlalu tinggi yang dicatatkan itu dipercayai boleh membawa kepada penyakit berkaitan haba, termasuk strok haba, kekejangan haba dan keletihan.
Muhammad Helmi berkata, fenomena cuaca panas dan kering di negara pada masa ni merupakan fenomena berulang yang berlaku saban tahun.
Katanya, ia terutamanya pada fasa akhir Monsun Timur Laut dan peralihan monsun antara Februari hingga Mei.
“(Namun), operasi pembenihan awan hanya akan dilakukan sekiranya terdapat keperluan seperti permintaan dari pihak-pihak tertentu.
“Ia seperti Kerajaan Negeri atau kementerian mahupun agensi bagi menambah bekalan air bagi kegunaan domestik, pengairan pesawah dan industri,” katanya. – UTUSAN










