Kementerian Pendidikan komited selesai isu prasekolah

Kementerian Pendidikan komited selesai isu prasekolah

FADHLINA Sidek mencuba teknik solekan pada Majlis Perasmian Karnival Keusahawanan Permata Remaja di PPR Pantai Ria, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan komited memperluas prasekolah seliaannya di institusi pelbagai peringkat selain penambahan program yang dijangka bermula pada bulan ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya sedang memperluaskan prasekolah di semua institusi di bawah KPM melibatkan 27 Institut Pendidikan Guru (IPG), kolej vokasional dan sekolah menengah.

Katanya, penambahan itu akan berlaku dengan pesat berdasarkan permintaan, keperluan dan keupayaan untuk memastikan komitmen kementerian terhadap isu prasekolah.

“Perluasan sebanyak mungkin dalam semua institusi Kementerian Pendidikan untuk prasekolah. Prasekolah ini percuma dan kita mahu rakyat Malaysia memilih prasekolah kerajaan.

“Kita sedang laksanakan, maknanya Mac ini akan berlaku perluasan prasekolah, kemudian ia akan berlaku dengan lebih pesat lagi kerana kita mewajibkan semua institusi di bawah Kementerian Pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Majlis Perasmian Karnival Keusahawanan Permata Remaja, di sini hari ini.

Kelas prasekolah bagi institusi di bawah kementerian itu diperluas dengan penambahan 129 kelas bagi tahun ini berbanding penambahan sebanyak 119 pada tahun lepas.

Menurut data dikongsi pihak kementerian, jumlah keseluruhan kelas bagi peringkat prasekolah seliaan Kementerian Pendidikan di seluruh negara mencapai 9,909 di lebih 6,000 institusi dengan jumlah murid melebihi 200,000.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, perluasan itu juga sebagai penyediaan pilihan masyarakat khususnya ibu bapa berstatus B40 untuk memilih prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan.

“Ia kerana sifat prasekolah adalah untuk mengatasi isu-isu awal keciciran, malnutrisi dan melakukan intervensi awal berkait rapat dengan pertumbuhan kanak-kanak.

“Dari segi mutu, kualiti guru-guru prasekolah semuanya adalah graduan, ini yang mesti kita kongsikan dengan rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya juga sedang menjalankan gerak kerja yang menumpukan kepada penyelarasan kurikulum prasekolah melibatkan beberapa institusi dan kementerian.

Katanya, ia merupakan antara enam ‘task force’ yang dirangka kementerian untuk ke arah reformasi pendidikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×