KANGAR: Kelebihan yang terdapat pada Perlis Geopark perlu sentiasa digilap dan ditambah baik dari masa ke semasa biar pun telah dinobatkan sebagai Geopark Kebangsaan Ke-10 pada tahun lalu.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, setiap pihak diingatkan agar tidak terlalu selesa dengan pencapaian pengiktirafan yang diraih tersebut.
Titah baginda, pengiktirafan itu merupakan satu amanah untuk semua pihak agar dapat diwarisi kepada generasi akan datang untuk memantapkan dan memperhebatkan lagi pembangunan Perlis Geopark.
“Kerajaan negeri perlu sentiasa memandang serius dalam merangka agenda pembangunan Perlis Geopark untuk jangka masa panjang supaya khazanah bumi negeri ini berkekalan sehingga ke cucu cicit kita.
“Saya percaya dengan adanya faktor keunikan muka bumi negeri ini akan menjadi satu peluang dan ruang untuk kerajaan negeri meneroka potensi-potensi baharu yang dapat menggerakkan Perlis Geopark untuk terus melangkah ke hadapan dan duduk sebaris bersama geopark lain bertaraf UNESCO,” titah baginda sewaktu berucap pada Majlis Pemahsyuran Perlis Sebagai Geopark Kebangsaan di Taman Eko Rimba Bukit Ayer, di sini, hari ini.
Turut berangkat pada majlis berkenaan iailah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii dan Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, komuniti setempat juga boleh duduk semeja berbincang bersama pengurusan Perlis Geopark untuk menimba ilmu dan berkongsi pengalaman dalam menambah pengetahuan tentang warisan geobudaya tempatan sekali gus memberi manfaat kepada semua pihak terlibat.
“Saya juga berharap komuniti kita dapat terus menyampaikan penceritaan tentang potensi geopelancongan dan keindahan alam sambil meneroka elemen geologi serta biologi yang berada di kawasan setempat,” titahnya.
Selain itu, baginda turut berharap agar kerajaan Persekutuan dapat terus memberi sokongan penuh kepada setiap usaha dan cadangan dikemukakan oleh kerajaan negeri dalam agenda pembangunan Geopark tersebut.
Titah baginda, sokongan berkenaan bukan sahaja akan membuahkan hasil kepada kerajaan negeri tetapi juga kepada kerajaan Persekutuan kelak.
“Semoga Perlis Geopark sentiasa melakar kejayaan yang membanggakan semua pihak,” titah baginda.-UTUSAN










