Kegembiraan tidak bertahan lama, saya ‘lelah’ dibanding-bandingkan- Aina Abdul - Utusan Malaysia

Kegembiraan tidak bertahan lama, saya ‘lelah’ dibanding-bandingkan- Aina Abdul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Kadang-kadang, kegembiraan itu tidak bertahan lama. Menang tetapi selepas itu, akan ada isu-isu berbangkit. Susah tentu saya letih dibanding-bandingkan dengan sahabat saya, Ernie Zakri.”

Itu luahan penyanyi, Aina Abdul selepas sekali lagi berdepan episod perbandingan dengan rakan baik, Ernie Zakri setelah merangkul trofi vokal terbaik Anugerah Juara Lagu Ke-38 baru-baru ini.

Jelas Aina, dia sentiasa berusaha membersihkan nama mereka berdua apabila sering menjadi topik pertelingkahan segelintir peminat di media sosial sehingga menimbulkan perasaan kurang senang antara mereka.

“Saya tidak seharusnya terkesan, tetapi kita hanya manusia biasa. Bila rasa dibandingkan atau ada negativiti, saya ingatkan diri sendiri tentang kejayaan dan kegembiraan. Saya sangat sayang dia (Ernie).

“Saya bangga dengan dia. Tahu perjuangannya dalam industri. Saya cuba wujudkan persekitaran sihat dan menolak ideologi bahawa dua penyanyi wanita perlu bertanding sesama sendiri.

“Saya tahu, kami berdua cuba bawa aura positif tetapi mulut segelintir netizen suka bercakap bukan-bukan. Saya rasa mereka bukan peminat sebenar,” katanya.

Penyanyi Terus Hidup itu ditemui selepas pelancaran koleksi raya Amber X Anna Jobling, di sini semalam.

Dalam pada itu, Aina berkata, kemenangan untuk tiga tahun berturut-turut dalam kategori vokal terbaik bukanlah satu pencapaian yang membuatkan dirinya lebih hebat daripada Ernie atau mana-mana penyanyi lain.

“Ya, peminat boleh marah atau banding-bandingkan kami tetapi dalam pertandingan saya perlu fokus kerana ada tanggungjawab perlu dipikul. Saya tahu, Ernie juga sama. Dia juga ada perjuangannya.

“Apabila saya meraih trofi, bukan bermaksud saya lebih baik daripada sesiapa. Ernie juga sangat bagus dalam cara tersendiri. Kalau ada anugerah lain, dia layak memenanginya,” ujarnya lagi.

“Ernie memberikan persembahan terbaik dan sebagai kawan paling rapat dalam industri, saya tahu kepayahan serta semangatnya untuk bertanding walaupun berdepan ujian pada peringkat separuh akhir sebelum ini.,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN