SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu, mendiang Lee Kee Hiong disifatkan sebagai wakil rakyat yang banyak berjasa kepada penduduk sepanjang 10 tahun berkhidmat di kawasannya.
Timbalan Ketua Wanita DAP, Yeo Bee Yin berkata, antara sumbangan terbesar yang dibuat mendiang adalah menyelesaikan masalah bekalan air yang dihadapi penduduk Kampung Assam Kumbang bertahun lamanya.
“Kampung tersebut mengalami masalah tekanan air, paip bocor. Apabila menjadi ADUN, beliau berjaya menyelesaikan masalah tersebut yang memberikan manfaat kepada 300 penduduk di situ.
“Selain itu mendiang juga aktif mempromosikan kawasan menarik di Kuala Kubu Bharu sebagai pusat pelancongan yang secara tak langsung menjana ekonomi penduduk setempat,” katanya ketika ditemui pada upacara persemadian mayat Kee Hiong, hari ini.
Terdahulu, mayat mangsa tiba di Pusat Krematorium Nirvana Shah Alam kira-kira pukul 12.30 tengah hari sebelum upacara doa dan pembakaran mayat dilakukan dan selesai kira-kira pukul 12.50 tengah hari.
Beberapa kepimpinan DAP Pusat dan Selangor dilihat hadir dalam upacara tersebut seperti Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok, Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan, Hannah Yeoh dan Timbalan Setiausaha DAP Selangor, Jamaliah Jamaluddin.
Dalam pada itu, Bee Yin memaklumkan beliau akan memangku jawatan Ketua Wanita DAP Selangor yang dipegang Kee Hiong sebelum ini sehingga pemilihan baharu sayap tersebut dijangka berlangsung pada tahun hadapan.
“Tahun lalu, Kee Hiong sudah mencadangkan saya menjadi pemangku Ketua Wanita Selangor dan perkara ini dipersetujui oleh kepimpinan Wanita DAP Selangor. Jadi, saya akan melaksanakan tugas yang ditinggalkan mendiang sebaik mungkin,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan DAP belum mengadakan sebarang perbincangan bagi menentukan calon yang akan menggantikan Kee Hiong pada pilihan raya kecil (PRK) nanti.
Menurutnya, perbincangan perkara tersebut akan dibuat dalam masa terdekat, DAP Selangor akan melibatkan perbincangan itu dengan parti dalam komponen Pakatan Harapan (PH) Selangor.
Mendiang Kee Hiong mula menyertai DAP pada tahun 1993. – UTUSAN










