HATYAI, THAILAND: Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat) komited untuk mempromosikan industri pelancongan Terengganu melalui program Hari Media Pelancongan Malaysia dan Wilayah Selatan Thailand 2024.
Presidennya, Ahmad Syafri Husnaini Mohamad berkata, seramai lapan ahli jawatankuasa Kawat menyertai program tersebut yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam di Hatyai.
Menurutnya, Kawat memberi penerangan mengenai situasi semasa industri pelancongan di Terengganu melalui seminar dan bengkel yang diadakan selama program itu berlangsung.
“Ini adalah peluang dan platform terbaik untuk Kawat menjadi duta kecil pelancongan agar dapat berkongsi maklumat tepat dengan pengamal media dan penggiat industri pelancongan di wilayah selatan Thailand.
“Kami menerangkan mengenai keunikan dan keistimewaan produk pelancongan di Terengganu yang menjanjikan alam semulajadi yang masih tidak tercemar seperti pulau-pulau pelancongan dan Tasik Kenyir,” katanya.
Lebih 50 media dari lima negeri Malaysia iaitu Terengganu, Kedah, Kelantan, Perak dan Perlis menyertai program tersebut yang bertujuan merapatkan hubungan dan kerjasama strategik kedua-dua pihak untuk memperkasakan sektor pelancongan.
Satu kerjasama khusus melalui media sosial juga dibentuk untuk menjadi rujukan semua pengamal media setiap negeri dalam mempromosikan produk pelancongan di kawasan masing-masing selepas ini.
Sementara itu, Norma Mohd. Noor dari Jabatan Penerangan Negeri Terengganu berkata, program Hari Media Pelancongan Malaysia dan Wilayah Selatan Thailand itu sangat positif kerana menyelami permasalahan dan potensi pelancongan untuk kedua-dua negara.
“Penggiat industri pelancongan di Thailand memaklumkan pelancong Malaysia adalah yang tertinggi ketika ini dan mereka juga berminat untuk datang ke negara kita selepas ini.
“Semoga program ini akan menjadi perintis untuk lebih banyak program susulan diadakan selepas ini agar manfaatnya diterima segenap lapisan masyarakat di kedua-dua negara,” katanya. – UTUSAN










