KLANG: Rokok, minuman keras, sisa buangan elektronik dan bateri terpakai berjumlah sekeluruhan RM6 juta dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam serbuan di pelbagai lokasi sekitar Lembah Klang sepanjang 22 hingga 29 Februari lalu.
Barangan tersebut dilapor tidak diikrar ketika dibawa masuk ke negara ini dan rampasan yang terbesar adalah rokok melibatkan 9.2 juta batang pelbagai jenama yang sebahagian besarnya dirampas ketika pemeriksaan ke atas sebuah lori di Kilometer 41.1 Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad berkata, selain operasi di lebuh raya tersebut, JKDM turut merampas rokok dalam sebuah gudang tidak berpenghuni di Seri Kembangan serta pemeriksaan kontena di Pelabuhan Utara, di sini.
“Kesemua rampasan rokok melibatkan nilai cukai sebanyak RM3.95 juta sementara nilai dagangannya lebih RM500,000 dan dalam operasi di lebuh raya pada 29 Februari JKDM turut menahan pemandu lori berusia 50-an untuk membantu siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Tambahnya, JKDM turut menemukan rokok serta minuman keras dan sisa barangan elektronik dalam dua kontena di pelabuhan berkenaan yang diikrar sebagai ‘Copper Alloy’ di dalam borang perisytiharan.
“Pemeriksaan yang dibuat Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit II (Selangor) menggunakan mesin pengimbas kontena mendapati imej yang dikesan oleh mesin berkenaan meragukan dan tidak konsisten dengan deskripsi barang yang diikrar.
“Bagi kes ini, nilai dagangan adalah RM186,000 dan jumlah duti dan cukai berjumlah RM1.34 juta,” jelasnya.
Jelasnya lagi, selain rokok, kuantiti barang lain iaitu 225 liter minuman keras, 4,000 kilogram (kg) sisa buangan elektronik (e-waste) dan 111,500 kg bateri terpakai yang dirampas ketika pemeriksaan kontena di pelabuhan sama.
Sementara kes rampasan bateri terpakai pula, Sazali memaklumkan, rampasan bahan tersebut dibuat ketika pemeriksaan dibuat ke atas empat buah kontena bersaiz 40 kaki di Pelabuhan Barat, 28 Februari lalu.
Menurutnya, pihak sindiket mengikrar bahan dalam kontena itu sebagai ‘Aluminium Flakes’ melalui Borang Kastam 1.
“Hasil pemeriksaan ke atas empat kontena itu menemukan sejumlah bateri terpakai yang tidak mempunyai permit import. Nilai dagangan dianggarkan sebanyak RM892,000 dengan jumlah duti dan cukai sebanyak RM285,440.
“Kesemua ini kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” ujarnya. – UTUSAN










