SIK: Seorang kanak-kanak lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) ditemukan mati lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Muda di Kampung Tala, Jeneri, di sini petang tadi.
Mangsa, Muhamad Izhar Arshad, 11, dari Kampung Tala yang merupakan OKU pembelajaran dikatakan hilang dari rumah kira-kira pukul 4.30 petang.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, bapa mangsa, Arshad Mahmad, 49, menyedari anaknya tiada di rumah dan telah membuat pencarian di kawasan berhampiran tetapi tidak menemuinya.
“Seterusnya dengan bantuan penduduk kampung dan pasukan Briged Sukarela Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM), mangsa berjaya ditemui di dalam sungai dalam keadaan sudah tidak bernyawa,” ujarnya.
Tambahnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Hospital Sik dengan pemeriksaan ke atas badan mangsa tidak menemui sebarang kecederaan luaran.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi BSYJM, Mahadzir Abdul Hamid berkata, pusat operasi mereka menerima maklumat berkaitan kehilangan mangsa pada pukul 7.15 malam, setelah pencarian awal dilakukan oleh penduduk kampung.
“Seramai 10 anggota BSYJM kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk membantu dan usaha pencarian berjaya menemui pakaian mangsa di tebing sungai,” katanya.
Menurutnya, operasi pencarian diteruskan di kawasan sungai dalam radius 30 meter sebelum mangsa yang merupakan anak bongsu daripada daripada empat beradik dijumpai pada dasar sungai berkenaan kira-kira pukul 8 malam tadi. –UTUSAN










