Kampung Tebuk Mufrad dipilih Kampung Angkat Madani pertama di Selangor - Utusan Malaysia

Kampung Tebuk Mufrad dipilih Kampung Angkat Madani pertama di Selangor

Kampung Angkat Madani
TENGKU Zafrul Aziz bersama Rizam Ismail (kiri) menyampaikan sumbangan kepada penduduk pada program itu di Masjid Kampung Tebuk Mufrad, Sungai Air Tawar, di Sabak Bernam, Selangor. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Kampung Tebuk Mufrad, Sungai Air Tawar di sini, melakar sejarah tersendiri apabila menjadi Kampung Angkat Madani pertama di negeri ini.

Malah, kampung itu turut terpilih sebagai Kampung Angkat Madani sulung di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, pemilihan itu dibuat berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita dan mahu memberi sokongan kepada penduduk menceburi bidang keusahawanan.

Menurutnya, kementerian memperuntukkan kos berjumlah RM2 juta bagi melaksanakan pelbagai projek berimpak tinggi di kampung tersebut.

“Projek itu antaranya melibatkan pembinaan sebuah dewan bagi penganjuran majlis-majlis ilmu dan platform penduduk merapatkan lagi ukhwah sedia ada.

“Selain itu, gelanggang futsal sedia ada akan dinaiktaraf atau dibina semula bagi memastikan mereka terutama generasi muda beriadah dengan aktiviti sihat,” katanya ketika ditemui pada program Iftar Ramadan di Masjid Kampung Tebuk Mufrad.

Tambahnya, beberapa program turut dirancang dengan mengambil kira kekuatan MITI seperti program bimbingan keusahawanan.

“Program seumpama itu penting bagi menambah baik sumber pendapatan dan meningkatkan ekonomi setempat. Pelbagai agensi di bawah MITI akan membimbing penduduk sebaik mungkin,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul memaklumkan program Kampung Angkat Madani yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu perlu dilakukan secara ‘whole of government’ dengan memfokuskan kelengkapkan kemudahan asas di kawasan desa yang terpinggir secara holistik.  

Sementara itu Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail berkata, pemilihan kampung berkenaan dapat memberi limpahan ekonomi dan kemajuan kepada penduduk setempat.

“Prospek Kampung Tebuk Mufrad lebih kepada industri pertanian, inovasi, kraftangan dan  industri kecil dan sederhana (IKS).

“Selain itu, kampung ini meliputi projek dalam Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) dan daerah ini diharap dapat diangkat sebagai kawasan agro industri,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN