Kafe Makan Percuma sedia juadah berbuka puasa

Kafe Makan Percuma sedia juadah berbuka puasa

MOHD. Azrul Mohd. Razak (kanan) bersama sukarelawan menyediakan juadah berbuka puasa di Kafe Makan Percuma, Jalan Sultanah, Alor Setar, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kafe Makan Percuma di Jalan Sultanah di sini, menyediakan makanan untuk orang ramai berbuka puasa sepanjang Ramadan terutama mereka yang tidak berkemampuan.

Pengasasnya, Mohd. Azrul Mohd. Razak, 39, berkata, setiap hari premis itu menyediakan juadah berbuka seperti nasi, lauk, kuih-muih dan buah-buahan yang boleh dinikmati antara 70 hingga 100 pengunjung.

“Pada hari Jumaat kami sediakan di premis Kafe Makan Percuma ini sementara hari lain di rumah kebajikan atau pusat tahfiz.

“Dana kami peroleh daripada dermawan seluruh negara yang berniat mahu sedekah kepada golongan memerlukan bantuan. Kami akan masak sendiri juadah itu setiap hari dan kemudian agihkan,” katanya ketika ditemui di premis tersebut.

Menurut Mohd. Azrul, pihaknya tidak menetapkan golongan yang layak makan di premis tersebut, namun kebanyakan daripada mereka merupakan asnaf termasuk mualaf dan gelandangan di sekitar bandar raya ini.

“Alhamdulillah, dana yang kami peroleh untuk infaq Ramadan ini hampir penuh. Kami akan menyediakan lokasi tertentu untuk mengagihkan juadah berbuka puasa selain turun ke lokasi di mana terdapat gelandangan.

“Kami menyediakan makanan yang berbeza sedikit iaitu nasi daging, nasi tomato atau nasi beriani yang dimasak sendiri oleh sukarelawan. Ia untuk memberi peluang kepada orang ramai makan masakan yang istimewa,” katanya.

Tambahnya, usaha membantu golongan yang tidak berkemampuan itu dilakukan sejak 2020 termasuk menyediakan bekalan makanan seperti beras dan gula kepada penduduk yang kesempitan.

“Penerima bantuan ini datang dari seluruh Kedah kerana ada yang dari Sik dan mereka diuji dengan pelbagai kesempitan hidup. Ada seorang warga emas dan cucunya yang sanggup jalan setengah jam dari rumahnya di Flat Alor Malai ke sini untuk meminta bantuan beras,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN