Jemaah Menteri tegur sikap ahli Parlimen 'cakap dulu, maaf kemudian'

Jemaah Menteri tegur sikap ahli Parlimen ‘cakap dulu, maaf kemudian’

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jemaah Menteri menegur keras tindakan segelintir ahli Parlimen pembangkang yang seolah-olah selesa dengan sikap ‘cakap dulu dan minta maaf kemudian’.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri akan berhubung dengan Pejabat Speaker Dewan Rakyat bagi membincangkan perkara tersebut, sekali gus memastikan ia tidak berulang.

“Sebelum ini, berlaku beberapa siri kenyataan oleh ahli Parlimen yang disifatkan tidak betul dan tidak benar, malah boleh dikatakan telah mengelirukan Dewan. Bagaimanapun, siri permohanan maaf dibuat.

“Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini menyuarakan teguran secara tegas terhadap kenyataan ahli Parlimen yang didakwa tidak benar dan dikeluarkan pada ketika sesi Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat baru-baru ini.

“Ada pertikaian sama ada, adakah mereka faham bahawa apa yang mereka sebut itu tidak benar dan tidak betul dalam siri kejadian baru-baru ini,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Baru-baru ini, beberapa ahli Parlimen termasuk Tasek Gelugor (Datuk Wan Saiful Wan Jan), Pengkalan Chepa (Datuk Ahmad Marzuk Shaary) atau Marang (Tan Sri Abdul Hadi Awang) mengeluarkan kenyataan tidak betul dalam siri perbahasan di Dewan Rakyat itu.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen pada sesi perbahasan tersebut akan dijawab dalam sesi penggulungan yang dijadual bermula Isnin.

Pada 5 Mac lalu, Wan Saiful memohon maaf atas tindakannya yang mengeluarkan kenyataan berbaur sangkaan jahat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.

Permohonan maaf itu dibuat selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memberi ruang kepada wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu untuk memberikan penjelasan mengenai kenyataan yang dibuatnya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada 28 Februari lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×