Jemaah masjid pulang 'berkaki ayam' selipar dicuri - Utusan Malaysia

Jemaah masjid pulang ‘berkaki ayam’ selipar dicuri

BEBERAPA jemaah pulang ke rumah mereka dengan 'berkaki ayam' selepas selipar mereka hilang dipercayai dicuri di sebuah masjid di Dungun, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Berapa orang jemaah di salah sebuah masjid di bandar Dungun, dekat sini, terpaksa pulang ke rumah mereka dengan ‘berkaki ayam’ selepas selipar mereka hilang, dipercayai dicuri individu tidak bertanggungjawab.

Salah seorang mangsa, Khairi Ridzman, 24, yang tinggal di Kampung Balai Besar berkata, kejadian itu berlaku ketika dia bersama beberapa rakannya ke masjid berkenaan untuk menunaikan solat Tarawih sempena malam pertama bulan Ramadan, malam tadi.

“Ketika kami mahu masuk ke dalam masjid kira-kira pukul 8 malam, kami letak selipar di luar pintu masjid.

“Kami hanya sedar selipar hilang ketika mahu pulang iaitu sekitar pukul 9.30 malam. Awalnya kami ingatkan kanak-kanak bermain selipar dan letak di bahagian pintu masuk yang lain, namun selepas kami pusing semua pintu masjid, memang tak ada (selipar),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Khairi berkata, dia kesal masih ada individu yang tidak bertanggungjawab melakukan kerja tidak bermoral tersebut terutamanya di bulan yang mulia.

“Saya tengok, bukan hanya saya dan kawan yang hilang selipar, namun ada juga beberapa jemaah lain yang turut ditimpa nasib sama.

“Kami tiada pilihan lain, terpaksa pulang ‘berkaki ayam’. Sebelum ini ada juga kes begini berlaku ketika solat Jumaat di beberapa masjid lain, namun tak sangka jadi pada saya,” katanya.

Terdahulu, Khairi memuat naik status di laman sebuah kumpulan di Facebook dan status itu mendapat pelbagai reaksi netizen yang turut berkongsi pengalaman sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN