KUALA LUMPUR: Seorang pekerja besi buruk dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan dikenakan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana merompak seorang wanita warganegara Jepun dan menggunakan kad banknya untuk membeli empat paket rempah kari.
Hakim Norina Zainol Abidin menjatuhkan hukuman itu selepas C. Selvam, 35, mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 13 Mac lalu.
Selvam didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, merompak beg milik Kayoko Shimada yang mengandungi kad bank, pasport, telefon bimbit dan wang tunai RM100 di kaki lima, Lorong Pudu 14 di Bukit Bintang di sini pada 7.10 pagi, 4 Mac lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Muhairi Mohamed Noh memohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh serta mengambil kira lelaki itu telah menggunakan kad bank milik mangsa.
Bagaimanapun, peguam Kalwant Singh yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan ia merupakan kesalahan kali pertama tertuduh selain anak guamnya perlu menanggung keluarga.
“Anak guam saya telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu. Dia menggunakan kad bank (mangsa) untuk membeli empat paket rempah kari bagi keperluan keluarga,” katanya. – UTUSAN










