'Jangan berlebihan ulas isu stoking kalimah Allah'

‘Jangan berlebihan ulas isu stoking kalimah Allah’

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) ketika menyampaikan sumbangan kepada anak-anak tahfiz pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Nibong Tebal, Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Timbalan Perdana Menteri meminta semua pihak supaya menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan tidak berlebih-lebihan dalam menyentuh isu sensitif berhubung penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di pasar raya KK Mart sebelum ini.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, hal ini demikian kerana, isu itu sensitif dan dikhuatiri akan digunakan oleh sesetengah pihak untuk membangkitkan sentimen 3R iaitu agama, kaum dan institusi diraja.

Kata beliau, dalam hal ini juga, pihak pengurusan KK Mart itu telah tampil untuk membuat permohonan maaf.

“Saya mematuhi titah Yang Di-Pertuan Agong (Sultan Ibrahim) mengenai stoking (tertera) kalimah Allah dan dalam keadaan ini, saya fikir jangan lagi (kita) bangkitkan perkara sensitif begini.

“Ramai pihak rasa permohonan maaf itu telah dibuat (oleh pihak KK Mart) dan kita anggap mereka tidak mengetahui dan tak ada tujuan pun. 

“Apabila pengilang dah lakukan lawatan, siasatan mendapati bukan kilang itu yang lakukan. Sebaliknya, ia adalah barangan yang diimport dari China,” katanya kepada pemberita pada Majlis Santuni Kasih Ramadan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) di Masjid Jamek Al-Amin Simpang Tiga, di sini.

Hadir sama, Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek dan Pengerusi PERDA, Datuk Dr. Shaik Hussein Mydin.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, isu itu wajar dijadikan pengajaran dan diselesaikan dengan sebaiknya supaya ia tidak disalah tafsir dan dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Ini suatu pengajaran yang agak mahal dan saya yakin semua pihak patuh kepada titah Tuanku serta kita selesaikan masalah ini dengan sebaiknya,” kata beliau.

Semalam, Sultan Ibrahim murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di sebuah rangkaian kedai serbaneka. 

Ia susulan penularan gambar stoking tertera kalimah ‘Allah’ itu di media sosial yang mendakwa ia dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna pada 13 Mac lepas.

Bagaimanapun, pemilik rangkaian pasar raya itu iaitu KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) pada Sabtu lepas dilaporkan telah memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah ‘Allah’, di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN