PETALING JAYA: Kerajaan perlu memberi tumpuan meningkatkan infrastruktur sedia ada di sekolah kebangsaan (SK) bagi menarik minat ibu bapa bukan Melayu menghantar anak mereka ke situ.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Anuar Ahmad berkata, dengan adanya kemudahan lengkap seperti padang bola, kolam renang, makmal sains dan guru cemerlang, ia mampu menarik bukan Melayu menghantar anak mereka ke SK.
“Kita dapati masyarakat Cina tidak menghantar anak mereka ke SK disebabkan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) mempunyai lebih banyak kemudahan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pergerakan Pemuda UMNO sebelum ini mencadangkan sekolah satu aliran kepada Kerajaan Perpaduan bagi menjamin keharmonian kaum di negara ini.
Ketuanya, Dr. Muhamad Akmal Saleh memberikan alasan rakyat Malaysia telah dibeza-bezakan sejak kecil menerusi sekolah yang mewakili kaum tertentu seperti SJKC dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT).

Anuar berkata, apa yang lebih penting adalah bagaimana untuk memastikan sekolah jenis kebangsaan dan SK mampu diterjemahkan kepada konsep Sekolah Malaysia.
“Apabila kita menuding jari untuk mengatakan sekolah jenis kebangsaan tidak akan menimbulkan isu perkauman, kita juga harus melihat untuk meningkatkan kualiti SK supaya boleh diterima oleh semua kaum,” ujarnya.
Sementara itu, pakar pendidikan awal kanak-kanak dari Kolej Universiti Antarabangsa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Prof. Dr. Bustam Kamri berkata, penggunaan bahasa dan komunikasi antara guru dan pelajar tidak menjadi masalah sekiranya sekolah satu aliran diwujudkan.
“Tidak ada sebab untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai isu apabila sekolah satu aliran diwujudkan. Kenapa perlu beri alasan tidak faham sekiranya benar-benar menyanjung bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan?
“Sekolah satu aliran bukan satu masalah untuk jadikan alasan soal bahasa. Lama-kelamaan pelajar faham juga,” katanya.
Selain itu katanya, kewujudan sekolah satu aliran juga mampu merapatkan hubungan pelajar berbeza kaum yang dipisahkan oleh SJKC dan SJKT.
“Apabila dipisahkan sekolah mengikut kaum, rasa kecintaan terhadap negara di bawah sistem pendidikan akan berkurang. Bila masanya mereka boleh bercampur dan bergaul sekiranya diasingkan?
“Sekolah satu aliran adalah lebih baik dan perlu diterapkan dari kecil. Kita akan gagal membentuk perpaduan pada masa akan datang apabila mereka tidak saling memahami,” ujarnya.
Dalam pada itu, pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Hasnah Toran berkata, pembentukan sekolah satu aliran bukan tindakan penghapusan identiti kaum lain.
“Kita menyokong pembentukan bangsa Malaysia tidak bermakna kita menyokong penghapusan identiti kaum lain. Kita boleh lihat bahawa di Malaysia kita meraikan kepelbagaian.
“Jika kerajaan mampu menjelaskan kepada semua kaum bahawa sekolah satu aliran tidak langsung bermaksud untuk menghapuskan identiti kaum-kaum di Malaysia, insya-Allah tidak ada ketegangan,” katanya. – UTUSAN










