Industri seni kita toksik, pilih kasih – Adam Corrie - Utusan Malaysia

Industri seni kita toksik, pilih kasih – Adam Corrie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADAM Corrie, mungkin satu nama yang tidak semua peminat industri seni akan angguk kenal. 

Namun, jika menyebut nama Dragon, rasanya ramai yang akan bersorak teringatkan lakonannya dalam  lem pecah panggung, KL Gangsters. Sehingga ke saat ini pun, dia cukup sinonim dengan watak antagonis. 

Mana tidaknya, dia pernah menerima kecaman yang dianggap pujian selepas kejayaan membawakan watak ikonik tersebut. Namun hakikatnya, semua itu tidak menjanjikan tawaran kerja berguling-guling kepadanya. 

Dia mengakui sendiri, sudah setahun tidak menerima sebarang tawaran lakonan. Sebelum itu, dia pernah dua tahun termangu menanti tawaran. 

Di mana silapnya? Jika populariti adalah alasan, dia dikenali ramai? Usia? Tidak logik. Adakah perangai di set penggambaran? Tidak pernah didengar. 

Lantas, apakah yang membuatkan dia seolah-olah diboikot penerbit? Adam, Jawablah!

Kita terus sahaja kepada persoalan, apakah yang mungkin menyebabkan abang seolah-olah ‘diboikot’ penerbit dan pengarah tempatan? Atau mungkin memang begitulah lumrah anak seni, satu masa tawaran sepi?

Kalau tanya sebab saya sendiri tidak tahu. Mungkin kerana prinsip saya. Ada yang tawarkan saya watak cameo, tetapi bayaran sangat menyedihkan. 

Kadang-kadang RM500 sahaja untuk watak cameo. Disebabkan itu, saya tolak. Saya ada harga diri sebagai anak seni. Saya bukan mahu rosak industri seni kita tetapi, kalau sebegitu rendah harga yang ditawarkan untuk hasil kerja seorang pelakon, tak apa. 

Bila saya mula tolak tawaran dengan harga merepek, saya tidak tolak kemungkinan ada dakwaan kononnya saya demand dan berlagak diva. Padahal saya cuma mempertahankan maruah sebagai pelakon.

Kiranya sudah banyak kali abang berdepan situasi bayaran tidak setimpal dengan hasil kerja? Ada perbincangan pernah dilakukan untuk menimbang tara harga tersebut sebelum menolaknya?

Banyak kali sebenarnya. Ada produksi pernah tawarkan saya watak dengan bayaran RM250 untuk satu hari. 

Lain-lain perbelanjaan, kita sendiri kena tanggung. Itu bukan demand ya. Janganlah tekan kami. Pernah sahaja saya berjumpa dengan seorang penerbit. 

Bila berunding, saya pula dimaki hamun. Bukan saya tak pernah kerja atau tak kenal dengan penerbit itu tetapi baginya tiada kompromi soal bayaran. Tetapi lain pula kalau pelakon lebih popular dan disukai. 

Sebab itu saya berani cakap, industri seni kita ini toksik dan pilih kasih. Kalau saya, ulang empat kali take sahaja sudah kena maki. Cuba kalau pelakon disayangi, 30 kali pun ‘tak apa, tak apa’.

Toksik dan pilih kasih, dua perkataan yang menggambarkan industri seni kita mungkin tidak seindah yang disangka. Ingatkan hanya yang bermasalah sahaja diboikot, rupanya kalau tolak tawaran sebab bayaran ’ciput’ pun boleh sama disenarai hitam. 

Bukan saya nak menangkan diri, tidak. Saya hanya cerita realiti. Saya tidak mahu  tnah atau petik mana-mana nama, tetapi kadang-kadang saya sendiri tidak tahu apa masalah. 

Bila tolak satu tawaran, penerbit lain juga seakan ikut serta boikot. Mungkin juga orang lihat saya sebagai Dragon sahaja sedangkan dunia lakonan itu luas. Saya tak hanya mampu jayakan watak antagonis semata. Watak kita tak berkembang pun sebenarnya. 

Kalau muka pecah rumah, mesti watak jahat. Hero kena tampan kacak bergaya. Kita tidak berani mengetengahkan sesuatu yang berbeza. Mungkin juga peminat industri drama dan  filem kita sendiri tidak terima perubahan. 

Bila tidak ada tawaran, abang fokus perniagaan semata sekarang? Berniaga sempena Ramadan? 

Ya, bila tawaran semakin berkurangan atau boleh dikatakan tidak ada, saya memang fokus berniaga sahaja. Saya ada jenama baju sendiri. Saya reka, cari kain semua sendiri. 

Itu pun ada yang ciplak. Soal rezeki, halal haram itu terpulanglah. Tuhan ada. 

Cuma kepayahan itu terasalah. Tetapi saya percaya kepada rezeki Tuhan. Tidak lambat, tidak cepat. Segala usaha akan terbayar, tidak di dunia insya-Allah, di akhirat kelak.

Abang tidak sertai festival raya anjuran rakan-rakan artis? Kita tengok sekarang memang berpusu-pusu rakan artis yang anjurkan festival jualan terutama musim raya? 

Itu satu hal. Ajak artis sertai festival jualan, yang popular followers juta-juta letak di depan. 

Yang sendu, letak di kedai paling hujung. Orang nak datang pun penat, jadi yang lalu berapa kerat sahaja. 

Ya, memang booth diberikan secara percuma tetapi perbelanjaan lain kita kena tanggung. Sebab itu, lebih baik saya bayar booth sendiri sahaja. Boleh pilih kedudukan depan atau tengah. 

Tetapi berbalik kepada soal rezeki juga. Alhamdulillah, hidup tidak lebih, tidak kurang, Allah beri secukupnya untuk saya dan keluarga. Itu saya sangat syukuri.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN