PETALING JAYA: Indeks Kos Sara Hidup akan digunakan Jabatan Perangkawan Malaysia (DOSM) mulai September ini sebagai indikator baharu dalam mengenal pasti kos kehidupan rakyat Malaysia mengikut daerah masing-masing.
Ia menilai semua kawasan melibatkan 33.7 juta penduduk negara ini.
Indikator bersifat lokaliti tersebut membolehkan kerajaan merangka pelaksanaan program yang lebih jitu dan berkesan mengikut kesesuaian kos sara hidup rakyat mengikut daerah.
Ia juga dijangka merangkumi kos perubatan dan peningkatan harga ubat-ubatan rakyat memandangkan Malaysia kini menuju ke arah negara menua tidak lama lagi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, indeks kos sara hidup itu akan mengambil kira pelbagai faktor seperti harga barangan dan sewa rumah mengikut daerah di seluruh negara.
Katanya, pendekatan itu bagi memastikan realiti kos sara hidup rakyat mengikut daerah dapat diketahui sekali gus membantu kerajaan merangka inisiatif bersesuaian dengan data diperoleh.
“Kita akan menjalankan tinjauan di seluruh daerah di Malaysia untuk mengumpul data berdasarkan harga barangan keperluan, kos sewa rumah dan sebagainya mengikut lokaliti masing-masing.
“Sebagai contoh, kadar sewa rumah di Kemaman, Terengganu dan Pengerang, Johor lebih mahal berbanding kawasan lain. Jadi perkara-perkara sebegini perlu diambil kira supaya denyut nadi rakyat secara jelas dapat diperoleh,” katanya ketika dihubungi semalam.
Terdahulu, Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) kelmarin bersetuju supaya DOSM membangunkan satu indikator baharu bagi mengukur tahap kos sara hidup rakyat hingga ke peringkat daerah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, indikator tersebut adalah bagi membantu kerajaan merangka pelaksanaan program lebih tepat dan berkesan.
Mohd. Uzir berkata, sudah tiba masanya DOSM mempunyai satu kaedah pengukuran baharu dalam mengenal pasti kos sara hidup rakyat secara tepat kerana isu tersebut kerap diperkatakan sejak kebelakangan ini.
Mengulas berhubung perbezaan indeks kos sara hidup dengan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang sedang berjalan ketika ini, beliau berkata, PADU adalah inisiatif penting bertujuan mengumpulkan profil individu dan isi rumah termasuk warganegara dan pemastautin tetap.
Menurutnya, maklumat profil tersebut dikumpul melalui pengintegrasian data pentadbiran daripada pelbagai sumber dan dikemas kini secara berkala oleh setiap individu.
“Objektif PADU adalah sangat luas termasuk membantu kerajaan untuk memperkenal inisiatif seperti subsidi bersasar kepada golongan benar-benar layak dengan mengetahui pendapat boleh guna sesebuah isi rumah dan lain-lain.
“PADU juga berfungsi membantu kerajaan mengetahui tahap pendidikan seseorang individu dengan gaji diperolehnya dan sebagainya namun ia tidak mempunyai maklumat kos sara hidup individu tersebut seperti yang akan diukur oleh indeks kos sara hidup kelak,” katanya. – UTUSAN










