IEDIL Dzuhrie Alaudin menyusuri langkah beberapa anak watan seperti Bront Palarae dan Miller Khan yang melebarkan sayap di industri drama dan perfileman di Indonesia.
Tiada istilah kecewa dengan industri di negara sendiri. Iedil menegaskan berkeinginan mencuba nasib di Indonesia yang memiliki industri perfileman yang lebih besar.
“Selain mengikuti isteri, Prisia Nasution, saya juga nak lebarkan sayap di Indonesia. Sebagai pelakon, itu langkah saya yang seterusnya. Dunia perfileman Indonesia kini semakin berkembang, jadi peluang terbuka luas untuk pelakon luar ke sana.
“Tambahan lagi saya kini mengusahakan sebuah syarikat produksi di sana dan merancang untuk mengajak rakan-rakan pembikin filem dan drama tempatan untuk berkarya di sana.
“Itu yang saya cuba galakkan supaya kita saling menerima faedah hasil penggabungan industri. Budaya kita juga hampir sama, jadi tak ada salahnya kita memanfaatkan kebaikan menerusi integrasi pasaran,” katanya.
Kata Iedil, penggiat filem dan drama Indonesia tidak menolak malah mengalu-alukan kehadiran pelakon luar, lebih-lebih lagi dari Malaysia untuk membina kerjaya di negara berkenaan.
“Kekangan terbesar sebenarnya adalah bahasa. Tetapi pelakon kita beruntung kerana mampu menguasai bahasa Indonesia dengan baik sekiranya kita berusaha untuk mendalami bahasa mereka. Saya contohnya, sudah mampu bercakap seperti orang tempatan dan sudah ditawarkan untuk berlakon beberapa buah drama di sana.
“Saya tak nafikan sentimen kenegaraan di sana wujud. Mula-mula agak sukar untuk menerima pelakon luar seperti saya namun lama kelamaan mereka mengalu-alukan kehadiran saya.
“Peluang untuk pelakon kita terbuka luas di Indonesia kerana kita mudah adaptasi bahasa dan budaya mereka,” kongsinya lagi.
TIADA ISTILAH KECEWA
IDIEL mengakui dia bukanlah pelakon tempatan yang popular jika dibandingkan dengan pelakon lelaki yang lain.
Namun, jejaka berusia 39 tahun menafikan perpindahannya ke Jakarta, Indonesia disebabkan rasa kecewa terhadap perkara tersebut.
“Niat saya jadi pelakon adalah untuk bekerja dalam bidang yang saya suka. Jadi, populariti tidak pernah menjadi keutamaan saya. Kalau dikurniakan (populariti) Alhamdulillah. Kalau tiada, tak mengapa.
“Ada juga yang bertanya kenapa saya tidak aktif di media sosial agar lebih dikenali. Mungkin ada betulnya saranan itu.
“Tapi apa pun saya tak pernah kecewa kerana tak sepopular pelakon lain. Saya hanya berharap dapat terus bekerja dalam industri ini, itu memadai bagi saya,” katanya.