Ibu bapa guna masa cuti beli kelengkapan persekolahan baru

Ibu bapa guna masa cuti beli kelengkapan persekolahan baru

MOHD. Shawal Bachok dan isterinya, Zainuriah Jamel mencuba kasut untuk anaknya di sebuah pasar raya di Pusat Perdagangan Pontian, di Pontian, Johor. – UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Ibu bapa memberi keutamaan kepada persiapan bagi menghadapi sesi persekolahan yang baru bagi tahun 2024/2025 berbanding untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri pertengahan April ini.

Tinjauan di sebuah pasar raya di Pusat Perdagangan Pontian di sini mendapati ibu bapa makin rancak membuat persiapan terakhir bagi anak-anak mereka yang mula bersekolah pada minggu depan.

Bagi Mohd. Shawal Bachok, 41, dia yang mempunyai tiga orang anak termasuk seorang di kelas pendidikan prasekolah memperuntukkan RM1,100 bagi membeli kelengkapan persekolahan tahun ini.

Katanya, anak sulung yang akan memasuki tahun 6 memerlukan RM500 bagi membeli pakaian dan lain-lain keperluan untuk sekolah rendah dan sekolah agama pada sebelah petang.

Menurut Mohd. Shawal, anak kedua yang  memasuki tahun satu pula sebanyak RM400 bagi sesi pagi dan petang, manakala anak bungsu sebanyak RM150 yang belajar di pendidikan prasekolah.

“Memandangkan saya sibuk setiap hari berniaga di pasar malam, hari ini saya meluangkan masa bersama isteri, Zainuriah Jamel, 41, membeli kelengkapan persekolahan bagi anak-anak,” katanya ketika ditemui di sini.

Asmijah Mohamad, 40,  pula telah membeli kelengkapan persekolahan bagi empat orang anaknya pada bulan Disember lalu ketika tinggal di Pulau Pinang sebelum berpindah ke Pontian.

Katanya, tumpuan ketika ini membeli kelengkapan persekolahan bagi Sekolah Agama (SA) seperti baju, kain samping, songkok untuk  ketiga-tiga anak lelakinya  yang akan bersekolah petang nanti.

“Ketika di Pulau Pinang tiada SA seperti di Johor, saya pun tidak pernah membeli pakaian tersebut dan tidak mengetahui mengenai harga pakaian sebelum ini,” katanya.

Seperti ibu bapa yang lain, dia dan suami menyediakan peruntukan kira-kira RM800 bagi membeli kelengkapan persekolahan dan mengetepikan dahulu soal persiapan Hari Raya Aidilfitri. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×