PONTIAN: Ketibaan 1 Syawal turut membawa limpahan rezeki kepada pengusaha homestay atau inap desa apabila bilik penginapan penuh ditempah oleh orang ramai.
Pemilik D’ Tanjung Piai Jom Stay, Fazie Saadon, 46, berkata, bilik penginapan bermula dari petang sambutan Hari Raya Aidilfitri hingga hari raya ketiga sudah penuh ditempah sejak dua bulan lalu.
Inap desa yang dibina pada tahun 2015 mempunyai enam unit bilik studio, rumah dua tingkat empat bilik, rumah berkembar dua bilik kini sudah penuh dengan kadar bayaran antara 130 hingga RM750 semalam.
“Kebanyakan tempahan diterima daripada penduduk tempatan mahupun saudara mara yang datang untuk menyambut Aidilfitri bersama-sama keluarga termasuk dari Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Dengan kehadiran mereka dapat tampung sambutan pelanggan yang kurang pada bulan puasa ini kecuali syarikat-syarikat yang membuat tempahan seminggu atau dua minggu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, D’ Tanjung Piai Jom Stay mempunyai pelbagai kemudahan tambahan seperti kolam renang, aktiviti berbasikal mengelilingi kampung serta lawatan ke tempat menarik di sekitar Tanjung Piai.
“Alhamdulillah, industri homestay di Kampung Serkat yang telah beroperasi sejak 30 tahun lalu dapat memberikan sumber pendapatan tambahan kepada pemiliknya pada musim perayaan ini,” katanya.
Sementara itu, Pengusaha Homestay Classic Al-Idrus, Syed Hamid Syed Salim, berkata, inap desa miliknya mula ditempah sejak sebulan lalu bagi mereka yang pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri.
Pelanggan dikenakan bayaran sebanyak RM280 semalam dengan pelbagai kemudahan seperti tempat letak kereta yang luas serta kawasan bagi aktiviti BBQ dan sebagainya. – UTUSAN










