GEORGE TOWN : Harga tiket untuk perkhidmatan funikular Bukit Bendera yang merupakan salah satu destinasi pelancongan popular di negeri ini dijangka naik berkuatkuasa 1 Mei nanti.
Menurut Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP), kadar baharu itu menyaksikan tiket dua hala (laluan biasa) untuk pemegang MyKad, MyKid dan pemegang kad yang sah iaitu Malaysia My Second Home (MM2H), permit kerja, pasangan warganegara Malaysia dan lain-lain untuk dewasa naik kepada RM16 berbanding RM12 pada masa sekarang.
Katanya, tiket untuk perjalanan sehala juga dijangka naik iaitu sebanyak RM2 dari RM6 kepada RM8.
“Sementara itu, harga baharu tiket bagi kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun dan warga emas 60 tahun ke atas ialah RM8 berbanding RM6 manakala sehala pula RM4,” katanya di sini hari ini.
Menurut PBBPP, tiket ‘sunrise’ untuk pemegang MyKad dan MyKid yang boleh didapati pada musim luar puncak juga dijangka meningkat kepada RM5, berbanding RM3 ketika ini.
“Semua kenaikan ini berlaku kerana kos operasi dan penyelenggaraan yang sentiasa meningkat bagi perkhidmatan serta infrastruktur.
“Keadaan ini tidak dapat dielakkan dan ia menyebabkan PBBPP perlu menyemak semula harga tiket dari semasa ke semasa dengan semakan harga tiket terakhir dibuat pada tahun 2019,” katanya di sini, hari ini.
PBBPP menambah, bagi memastikan perkhidmatan funikular boleh dinaiki oleh pemegang MyKad, MyKid dan penduduk tempatan, mereka akan sentiasa memastikan harga tiket kekal berpatutan.
“Walaupun kadar harga berubah, harga tiket funikular Bukit Bendera kekal sebagai salah satu yang paling berpatutan di seluruh dunia.
“Perkhidmatan funikular Bukit Bendera seperti semua perkhidmatan lain telah terjejas oleh kos operasi dan penyelenggaraan yang sentiasa meningkat bagi perkhidmatan serta infrastruktur,” katanya.
Dalam pada itu, PBAPP berkata, pihaknya sentiasa membuat pelaburan dalam usaha menaik taraf prasarana dan kemudahan di Bukit Bendera untuk meningkatkan pengalaman pengunjung.-UTUSAN










