PETALING JAYA: Hampir separuh graduan berpengalaman yang bekerja tetap secara sepenuh masa ‘terperangkap’ dalam isu terlebih kelayakan.
Keadaan itu sekali gus menyaksikan isu ketidaksepadanan dan gaji rendah masih berterusan walaupun dalam kalangan graduan yang berpengalaman.
Menurut laporan Mendepani Cabaran: Perkembangan Kerjaya Bakat Mahir Malaysia oleh Institut Kajian Khazanah, isu terlebih kelayakan juga ketara dalam pelbagai bidang pengajian terutama pertanian dan veterinar, sastera dan kemanusiaan serta berkaitan kejuruteraan.
“Isu pertumbuhan gaji yang lembab turut melingkari bakat berkemahiran di Malaysia walaupun mempunyai beberapa tahun pengalaman kerja bekerja sepenuh masa.
“Peningkatan gaji graduan yang bekerja dalam pekerjaan tidak standard juga perlahan. Kurang separuh graduan ~2010 yang bekerja sendiri memperoleh gaji lebih RM3,000 berbanding 28.9 peratus graduan ~2018,” kata laporan itu.
Laporan itu turut menyenarai faktor-faktor yang mempengaruhi perkembangan kerjaya mereka, menyaksikan graduan diploma secara konsisten memperoleh keberhasilan yang kurang memuaskan berbanding ijazah.
“Hampir separuh graduan universiti awam dan swasta terlebih kelayakan, merentasi kohort. Namun, graduan swasta lebih baik berbanding universiti awam dari aspek keberhasilan pekerjaan dan peningkatan gaji dengan lebih separuh memperoleh lebih RM3,000 untuk kedua-dua kohort.
“Graduan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) lebih cenderung (dan terus kekal) menghadapi masalah terlebih kelayakan. Mereka berpotensi mendapat gaji lebih rendah berbanding graduan bukan TVET.
“Perbezaan peratus terlebih kelayakan adalah kecil di antara lelaki dan perempuan. Kedua-dua kohort menunjukkan lebih ramai graduan lelaki menerima gaji melebihi RM3,000 berbanding wanita,” katanya. – UTUSAN










