Golden Pharos catat keuntungan RM29.25 juta - Utusan Malaysia

Golden Pharos catat keuntungan RM29.25 juta

MOHD. ZAKI HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Golden Pharos Berhad (GPB), anak syarikat kerajaan negeri Terengganu mencatat keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM29.25 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Mohd. Zaki Hamzah berkata, catatan keuntungan itu adalah peningkatan yang sangat memberangsangkan berbanding RM15.02 juta direkod untuk tahun kewangan 2022.

Menurutnya, keuntungan sebelum cukai itu adalah yang tertinggi pernah dicatatkan selepas GPB disenarai di Papan Utama Bursa Malaysia pada 1993.

“Selaras dengan pencapaian tersebut, GPB telah mengagihkan dividen interim sebanyak 4.6 sen sesaham kepada pemegang saham pada 15 Januari dan 9 Februari lalu.

“Kami gembira untuk melaporkan keputusan prestasi tahun kewangan 2023 yang begitu kukuh,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini

Tambahnya, GPB juga akan melaksanakan pelbagai inisiatif strategik untuk meningkatkan kecekapan operasi dengan mengukuhkan proses membuat keputusan dan memastikan pelaksanaan berkesan dalam mencapai pertumbuhan syarikat yang mampan.

“GPB juga akan memperkukuh aktiviti perniagaannya dalam pengurusan konsesi hutan, penuaian dan pengedaran, pengilangan papan serta pemprosesan nilai tambah produk berasaskan kayu bagi menjana lebih keuntungan pada masa akan datang,” katanya.

GPB adalah anak syarikat kerajaan negeri berdasarkan pegangan saham sebanyak 69.1 peratus melalui cabang pelaburan Negeri, Terengganu Incorporated Sdn Bhd dan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu yang masing-masing memegang 60.9 peratus dan 8.2 peratus.

Aktiviti utamanya meliputi pengurusan konsesi hutan, penuaian dan pengedaran, pengilangan papan dan pemprosesan nilai tambah produk berasaskan kayu, dan pembuatan dan penjualan kaca panel seni bina. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN