Galak guna biodegradasi di bazar Ramadan Wilayah Persekutuan

Galak guna biodegradasi di bazar Ramadan Wilayah Persekutuan

BAZAR Ramadan Putrajaya menggalakkan penggunaan bekas biodegradasi di Bazar Ramadan Presint 14, Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) menggerakkan inisiatif penggunaan biodegradasi di bazar Ramadan di tiga Wilayah Persekutuan meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, beliau menyeru semua warga Wilayah Persekutuan untuk sama-sama menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.

Beliau berkata, antara inisiatif yang boleh dilakukan termasuk membawa bekas makanan sendiri bagi mengurangkan penggunaan plastik apabila membungkus makanan termasuk ketika membeli juadah di bazar Ramadan.

“Kita semua sedia maklum tentang ancaman penggunaan plastik konvensional yang banyak memberikan kesan negatif terhadap kesihatan dan alam sekitar.

“Mungkin kita pernah terdengar tentang beg plastik konvensional yang biasa kita gunakan selama ini, mengambil masa beratus-ratus tahun untuk terurai.

“Kemudian, ia juga boleh menghasilkan bahan toksik berbahaya atau partikel halus yang menyerap masuk ke dalam tanah serta air yang mengakibatkan pencemaran,” katanya ketika ditemui selepas meninjau Bazar Ramadan Presint 3, di sini semalam.

Katanya, JWP melaksanakan pelbagai program kesedaran dan libat urus dengan pihak awam serta pemain industri termasuk Program Turun Padang (TUPA), taklimat bersama pihak berkepentingan, seminar, lawatan premis dan pameran produk biodegradasi.

Jelasnya lagi, semua program ini diadakan khusus untuk menyuntik kefahaman dan kesedaran dalam kalangan rakyat mengenai penggunaan produk biodegradasi.

Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata, Festival Ramadan Putrajaya 2024 (FRP 2024) dikelolakan oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) turut menyokong inisiatif bandar rendah karbon.

Menurutnya, antara kempen dilakukan termasuk Kempen Bawa Beg Sendiri, Kempen Jom Bio-Diesel, Kempen Save Food, Kempen Elak Pembaziran dan Kempen Pengurangan Sisa Organik Melalui Pengkomposan.

Bazar Ramadan Presint 3 ialah salah satu komponen FRP2024 selain Anjung Syawal di Persiaran Perdana Presint 3 dan 4 lagi bazar Ramadan iaitu di Presint 9, 11, 14 dan 16. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN