KUALA LUMPUR: Tawaran gaji rendah menyebabkan pelajar lepasan pengajian tinggi tidak berminat dengan tenaga mahir tempatan.
Timbalan Menteri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong berkata, perkara itu berlaku meskipun permintaan dari pihak industri terus meningkat.
Berdasarkan laporan statistik suku tahun yang dikeluarkan oleh Biro Statistik Buruh Malaysia (MBLS), Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) terdapat 49,500 kekosongan jawatan berkemahiran tinggi bagi sektor pembuatan pada suku kedua 2023.
Chin Tong berkata selain itu, data pada suku ketiga 2023 daripada Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) melaporkan terdapat sebanyak 22,248 kekosongan pelbagai jawatan bagi industri profesional, saintifik dan teknikal, melibatkan 5,734 syarikat tempatan.
“Sekiranya dilihat pada data-data ini, jumlah penghasilan graduan di Malaysia boleh dianggap mencukupi untuk menampung permintaan daripada industri.
“Namun begitu, kebanyakan daripada mereka memilih untuk bekerja di luar negara berikutan tawaran gaji dan persekitaran kerja yang lebih baik ataupun melibatkan diri dalam ekonomi gig,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini. -UTUSAN










